KANGAR, 2 Mac (Bernama) -- Kesiapsiagaan lebih menyeluruh, kecekapan taktikal serta ketajaman pemikiran strategik amat diperlukan dalam angkatan tentera bagi mendepani cabaran baharu dalam landskap keselamatan masa kini, termasuk ancaman siber yang semakin kompleks dan dinamik.
Sehubungan dengan itu, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Komander Rejimen 504 Askar Wataniah Tentera Darat Malaysia menegaskan amanah yang dipikul setiap anggota tentera menuntut pengorbanan besar serta iltizam tinggi.
Baginda bertitah komitmen, keberanian dan kesetiaan yang dipamerkan seluruh warga tentera bukan sahaja amat dihargai, malah menjadi tunjang kepada kestabilan, kedaulatan dan keamanan negara.
“Penghayatan nilai kerohanian, kepimpinan berteraskan teladan serta penekanan terhadap aspek kebajikan turut berperanan penting dalam membentuk disiplin, kesabaran dan keikhlasan dalam diri setiap anggota.
“Anggota tentera yang mantap rohaninya akan lebih tabah, berprinsip dan berdaya tahan dalam melaksanakan setiap tanggungjawab yang diamanahkan,” titah Tuanku Syed Faizuddin Putra.
Raja Muda Perlis bertitah demikian ketika berkenan menyempurnakan majlis berbuka puasa bersama warga Batalion ke-22 Rejimen Askar Melayu Diraja di Kem Sri Kinabatangan, Sandakan, Sabah, pada semalam, menurut kenyataan Rejimen 504 Askar Wataniah hari ini.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah pembinaan jati diri yang kukuh dan tahap profesionalisme tinggi serta integriti yang tidak berbelah bahagi menjadi teras utama kekuatan angkatan tentera.
“Setiap anggota adalah cerminan kepada tentera darat, dan institusi diraja. Justeru, sahsiah, amanah serta maruah pasukan hendaklah sentiasa dipelihara dan dijunjung dengan penuh rasa tanggungjawab serta kehormatan,” titah baginda.
Selain itu, baginda turut mengucapkan Selamat Menyambut Hari Ulang Tahun Tentera Darat Malaysia ke-93 kepada seluruh warga tentera, dan veteran atas segala jasa serta pengorbanan untuk negara.
-- BERNAMA
