Oleh K. Naveen Prabu
KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi hari ini, disokong oleh kenaikan harga dalam minyak mentah dalam persekitaran konflik antara Amerika Syarikat dan Iran yang berlaku sekarang.
Peniaga proprietari Iceberg X Sdn Bhd, David Ng berkata MSM melonjak melebihi RM4,100 satu tan apabila ketegangan semakin memuncak di Timur Tengah mendorong harga minyak mentah lebih tinggi, seterusnya memberi sokongan kepada harga minyak sawit.
“Kami mengesan paras sokongan melebihi RM4,050 satu tan dengan paras rintangan pada RM4,250 setan,” katanya kepada Bernama.
Ketika berita ini ditulis, harga minyak mentah Brent meningkat 7.22 peratus kepada AS$78.13 setong.
Sementara itu, Penganalisis Kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics, Sathia Varqa berkata niaga hadapan MSM meningkat lebih daripada RM100, seiring dengan kenaikan harga minyak mentah di tengah-tengah konflik yang semakin meningkat di Timur Tengah.
“Minyak sayuran berkaitan juga meningkat dengan olein sawit dan minyak biji sawi ditutup lebih daripada satu peratus lebih tinggi, manakala minyak kacang soya ditutup lebih tinggi,” katanya.
Pada penutup dagangan, kontrak niaga hadapan MSM bagi bulan semerta Mac 2026 naik RM69 kepada RM4,058 satu tan, April 2026 meningkat RM102 kepada RM4,132 setan dan Mei 2026 melonjak RM105 kepada RM4,147 satu tan.
Kontrak Jun 2026, Julai 2026 dan Ogos 2026 menokok RM104 masing-masing pada RM4,150, RM4,147 dan RM4,142 setan.
Jumlah dagangan menambah kepada 85,168 lot daripada 63,409 lot pada Jumaat manakala kepentingan terbuka berkurangan kepada 224,728 kontrak daripada 227,706 kontrak sebelumnya.
Harga MSM fizikal bagi Julai Selatan naik RM40 pada RM4,090 satu tan.
-- BERNAMA
