AM

ANWAR NYATAKAN HASRAT HADIRI SIDANG KEMUNCAK D8 DI JAKARTA  APRIL INI

02/03/2026 10:57 PM

KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan hasrat untuk menghadiri Sidang Kemuncak Kumpulan Lapan Negara Membangun dalam Kerjasama Ekonomi (D8) yang dijadual berlangsung di Jakarta, April ini.

Perkara itu dinyatakan Anwar pada sesi kunjungan hormat Duta Besar Republik Indonesia ke Malaysia yang baharu, Raden Mohammad Iman Hascarya Kusumo di Bangunan Parlimen, hari ini.

“Ini sebagai komitmen berterusan Malaysia dalam memperkukuh kerjasama serantau dan antarabangsa,” kata beliau menerusi hantaran Facebook.

Dalam pertemuan itu, Anwar berkata kedua-dua pemimpin senada supaya kerjasama perdagangan dan pelaburan ditingkatkan agar setara dengan keakraban persaudaraan serta hubungan strategik antara Malaysia dan Indonesia. 

Beliau berkata kerjasama berkenaan boleh diterjemahkan dengan mempergiat pertukaran lawatan serta mempererat komunikasi antara kepimpinan tertinggi demi memastikan agenda bersama dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Anwar turut mengucapkan selamat memulakan tugas kepada Raden Mohammad Iman dalam mempererat hubungan Malaysia dan Indonesia yang terjalin sejak sekian lama.

-- BERNAMA 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan