EKONOMI

SEBANYAK 204,928 PENIAGA KEMUKA E-INVOIS LIBAT PENGELUARAN LEBIH 1 BILION E-INVOIS - MOF

02/03/2026 11:10 PM

KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) -- Sejak dilaksanakan pada 1 Ogos, 2024 sehingga kini, sebanyak 204,928 peniaga telah mengemukakan e-Invois yang melibatkan pengeluaran lebih satu bilion e-Invois secara keseluruhan, jelas Kementerian Kewangan (MOF).

Kementerian itu berkata, prestasi ini menunjukkan tahap penerimaan yang positif terhadap pelaksanaan e-Invois dalam kalangan peniaga termasuk perusahaan, kecil dan sederhana (PKS).

Berdasarkan data yang diperoleh daripada pelaksanaan e-Invois Fasa 1 dan 2, seramai 17,188 pembayar cukai yang dikenal pasti tidak mematuhi pengemukaan Borang Nyata Cukai Pendapatan tampil secara sukarela untuk mengemukakan borang tersebut.

Ia melibatkan pendapatan tahun-tahun ke belakang sebanyak RM1.4 bilion yang menyumbang kepada jumlah cukai tambahan sebanyak RM290 juta. 

Kementerian itu berkata demikian dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan dalam laman sesawang Parlimen hari ini.

MOF menjawab pertanyaan Datuk Dr Richard Rapu @ Aman Anak Begri (GPS-Betong) yang bertanyakan mengenai unjuran terbaharu tentang impak e-Invois terhadap kecekapan kutipan cukai dan tadbir urus fiskal serta justifikasi fiskal menaikkan ambang pengecualian kepada RM1 juta mulai 2026.

Dalam pada itu, kementerian berkenaan berkata kajian pasca pelaksanaan e-Invois belum dilaksanakan lagi kerana ia masih di peringkat awal dan dalam tempoh peralihan. 

MOF berkata tahap keberkesanan dan pencapaian inisiatif e-Invois akan dapat dikenal pasti setelah inisiatif ini dilaksanakan sepenuhnya oleh setiap peniaga yang terlibat kelak. 

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan