KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Jumlah wang dan aset yang berjaya diperoleh semula Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sepanjang 2025 dalam kes berkaitan rasuah dan salah guna kuasa, antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, V Ganabatirau (PH-Klang) akan mengajukan soalan itu kepada Perdana Menteri berserta statistik perbandingan sebelum dan selepas Kerajaan MADANI, pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.
Pada sesi sama, Datuk Seri Shahidan Kasim (PN-Arau) meminta Perdana Menteri menyatakan status siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung dakwaan cubaan menjatuhkan kerajaan, ancamannya terhadap demokrasi berparlimen serta sama ada siasatan melibatkan unsur penyelewengan atau penyalahgunaan wang negara.
Pada sesi soal jawab lisan pula, Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) mahu Perdana Menteri menyatakan bagaimana kerajaan memastikan kualiti penggubalan undang-undang sentiasa tinggi dan tidak tergesa-gesa, khususnya bagi undang-undang yang mempunyai implikasi besar kepada hak rakyat dan ekonomi.
Selain itu Datuk Abdul Khalib Abdullah (PN-Rompin) bertanyakan kepada Menteri Kesihatan mengenai statistik terkini penyakit tidak berjangkit (NCD) dalam kalangan penduduk luar bandar dan langkah proaktif kementerian bagi membendung peningkatan kos rawatan dialisis melalui penambahan pusat satelit dialisis di daerah kecil.
Turut tersenarai soalan Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) kepada Menteri Dalam Negeri berhubung strategi menangani peningkatan jenayah kecil dan jenayah harta benda di kawasan perumahan rakyat terutamanya di kawasan berkepadatan tinggi.
Persidangan Dewan Rakyat kemudian diteruskan dengan pembentangan bacaan kali kedua bagi Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No 2) 2026 berkenaan pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Ke-15 yang bersidang selama 20 hari mulai 19 Jan lepas, berakhir hari ini.
-- BERNAMA
