914 KES KEMALANGAN DI PLAZA TOL PADA 2025, MAJORITI BERPUNCA KECUAIAN
KUALA LUMPUR: Sebanyak 914 kemalangan direkodkan di plaza tol seluruh negara pada 2025 berbanding 541 kes pada 2022, dengan majoritinya didapati berpunca daripada kecuaian manusia.
Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata berdasarkan analisis Malaysian Highway Road Accident Analysis and Database System (MHROADS), peningkatan tertinggi dikesan antara 2023 (651 kes) dan 2024 (861 kes) apabila jumlah kes melonjak sebanyak 32 peratus.
“Daripada 914 kes direkodkan pada 2025, faktor kecuaian manusia adalah punca paling kritikal dengan 718 kes, manakala faktor kenderaan menyumbang 136 kes melibatkan masalah seperti lebih muatan, kegagalan sistem brek serta masalah mekanikal dan tayar,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Senator Tuan Azahar Hassan yang ingin tahu data terkini jumlah kemalangan di plaza tol seluruh negara serta punca utama kemalangan tersebut.
Menjawab soalan tambahan mengenai langkah pencegahan, Ahmad berkata kementerian melalui Lembaga Lebuhraya Malaysia melaksanakan pelbagai inisiatif teknologi dan keselamatan di 205 plaza tol beroperasi, termasuk pemasangan jalur getaran, penggunaan paparan Sistem Mesej Pelbagai Maklumat (VMS) serta pemantauan kamera litar tertutup (CCTV) untuk mengesan pemandu yang menukar lorong pada saat akhir.
-- BERNAMA
KKDW PERKASA PORTAL TVET MADANI, HIMPUN MAKLUMAT 12 KEMENTERIAN
KUALA LUMPUR: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) kini memperkasakan Portal TVET MADANI sebagai pusat sehenti bagi memudahkan belia, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman, mengakses maklumat pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) secara bersepadu.
Timbalan Menterinya Datuk Rubiah Wang berkata portal itu menghimpunkan maklumat program TVET daripada 12 kementerian di bawah satu platform tunggal bagi memastikan penyaluran maklumat serta proses permohonan lebih teratur dan sistemik.
“Melalui inisiatif ini, golongan belia tidak lagi perlu merujuk kepada pelbagai laman sesawang agensi yang berbeza untuk mendapatkan maklumat kritikal termasuklah senarai kursus ditawarkan, syarat kemasukan, tempoh latihan dan lokasi institusi latihan di seluruh negara.
“Pendekatan berpusat ini amat penting bagi belia luar bandar kerana ia bukan sahaja menjimatkan kos dan masa, malah mengurangkan jurang maklumat yang sering menjadi cabaran di kawasan pedalaman,” katanya menjawab pertanyaan Senator Datuk Anna Bell @ Suzieana Perian yang ingin tahu usaha kerajaan dalam mempromosi bidang TVET kepada masyarakat luar bandar di Dewan Negara hari ini.
-- BERNAMA
KPN LAKSANA PENAMBAHBAIKAN 1,781 TABIKA PERPADUAN SECARA BERPERINGKAT
KUALA LUMPUR: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) sedang melaksanakan langkah penambahbaikan secara berperingkat bagi memperkukuh keupayaan 1,781 Tabika Perpaduan di seluruh negara sebagai persediaan menghadapi dasar baharu kemasukan Tahun Satu pada usia enam tahun bermula 2027.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara R. Yuneswaran berkata inisiatif itu melibatkan tinjauan keperluan dan penentuan kapasiti premis secara berfasa mengikut kategori serta lokasi bagi memastikan akses pendidikan prasekolah yang inklusif dan berkualiti.
“Langkah ini termasuk mengoptimumkan penggunaan ruang sedia ada serta penyusunan semula pengambilan murid berdasarkan kapasiti dan kesesuaian setempat,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Senator Datuk Dr Mustafa Musa yang ingin tahu sejauh mana kerajaan dapat meningkatkan keupayaan kapasiti Tadika Perpaduan bagi menerima murid lima tahun ke kelas pra-sekolah pada 2026 seiring dengan pertambahan permintaan ekoran kemasukan ke Tahun Satu 2027 pada umur enam tahun.
Yuneswaran menjelaskan maklumat daripada tinjauan tersebut juga akan dimanfaatkan untuk membangunkan profil murid lebih menyeluruh, merangkumi latar belakang sosiodemografi, tahap perkembangan dan keperluan pembelajaran lebih responsif.
-- BERNAMA
PROSES PENDAFTARAN PERSATUAN BELIA KINI LEBIH MUDAH - KBS
KUALA LUMPUR: Pendaftaran persatuan belia di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kini dipermudahkan bagi membantu golongan belia terutama di kawasan luar bandar menubuhkan pertubuhan masing-masing.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan Mordi Bimol berkata proses pendaftaran boleh dilakukan secara dalam talian atau mengunjungi terus pejabat Jabatan Belia dan Sukan Negeri (JBSN).
“Kita mempunyai Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) di setiap JBSN di seluruh negara yang menguruskan segala proses pendaftaran persatuan belia,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff mengenai kesukaran yang dihadapi belia terutama di kawasan luar dalam mendaftar persatuan akibat karenah birokrasi.
-- BERNAMA
