DUNIA

473 JUTA KANAK-KANAK TERKESAN AKIBAT KONFLIK - PBB

03/03/2026 04:30 PM

HAMILTON, 3 Mac (Bernama-Anadolu) -- Seorang pegawai kanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran pada Isnin bahawa kanak-kanak berdepan risiko yang tidak pernah berlaku sebelum ini ketika dunia mengharungi jumlah konflik bersenjata tertinggi sejak Perang Dunia Kedua, dengan pelanggaran undang-undang antarabangsa dan serangan ke atas sekolah meningkat secara mendadak, lapor Anadolu Ajansi.

“Perbahasan ini hadir pada saat yang sangat relevan. Hari ini, kita berdepan angka konflik bersenjata tertinggi sejak Perang Dunia Kedua. Bilangan orang awam terbunuh dalam konflik ini adalah yang tertinggi dalam beberapa dekad," kata Ketua Hal Ehwal Politik PBB Rosemary DiCarlo kepada Majlis Keselamatan, yang dipengerusikan oleh Wanita Pertama Amerika Syarikat (AS) Melania Trump.

“Realiti kita adalah jelas: apabila konflik meletus, kanak-kanak antara yang paling teruk terjejas," katanya.

DiCarlo menyatakan dua hari lepas menggariskan bahaya yang dihadapi kanak-kanak, apabila sekolah di Israel, Emiriah Arab Bersatu, Qatar, Bahrain dan Oman ditutup dan beralih pada pembelajaran jarak jauh berikutan operasi ketenteraan berterusan di rantau itu.

Beliau turut memetik laporan daripada Iran mengenai kemungkinan puluhan kanak-kanak maut akibat serangan di sebuah sekolah rendah di bandar Minab, sambil menambah pihak berkuasa AS telah mengumumkan mereka sedang meneliti laporan itu.

Pada peringkat global, satu daripada lima kanak-kanak, 473 juta, tinggal atau melarikan diri daripada zon konflik, katanya, sambil mengingatkan bahawa pelanggaran undang-undang antarabangsa terhadap kanak-kanak yang disahkan oleh PBB meningkat sebanyak 25 peratus dari 2023 hingga 2024. Rogol dan bentuk keganasan seksual lain meningkat sebanyak 35 peratus.

“Dalam konflik keganasan, sekolah dapat menjadi satu-satunya ruang selamat yang melindungi kanak-kanak daripada direkrut, diperdagangkan dan dieksploitasi,” kata DiCarlo. "Pendidikan di zon konflik adalah menyelamatkan nyawa dan menyokong kehidupan."

Namun beliau mengingatkan bahawa sekolah, guru dan infrastruktur terus menjadi sasaran.

"Pada 2024 sahaja, PBB mengesahkan sejumlah 2,374 serangan ke atas sekolah dan hospital. Banyak lagi yang tidak disahkan kerana kekurangan akses," katanya.

DiCarlo menambah bahawa 234 juta kanak-kanak dalam situasi krisis dan konflik memerlukan sokongan pendidikan manakala 85 juta orang langsung tidak bersekolah.

Beliau juga memberi amaran bahawa pembiayaan untuk pendidikan dalam kecemasan telah menurun sebanyak 24 peratus meskipun keperluan meningkat.

“Bagi memastikan peluang yang disediakan oleh teknologi direalisasikan, kita mesti mengurangkan risikonya. Kanak-kanak dalam konflik berdepan ancaman dalam talian yang semakin meningkat: eksploitasi, pemerdagangan, radikalisasi, rekrut digital ke dalam kumpulan bersenjata dan buli siber," katanya sambil menggesa negara anggota memastikan tiada jurang pembiayaan dalam pendidikan.

“Cara paling berkesan untuk melindungi kanak-kanak daripada konflik ialah mencegah dan menamatkan peperangan,” katanya.

Bagi pihaknya, Melania Trump berpendapat bahawa bahawa "jalan menuju keamanan bergantung pada kita mengambil tanggungjawab untuk memperkasakan anak-anak kita menerusi pendidikan dan teknologi".

"Konflik timbul daripada kejahilan, tetapi pengetahuan mencipta persefahaman, menggantikan ketakutan dengan keamanan dan perpaduan," katanya sambil menyeru ahli Majlis untuk "menjaga pembelajaran dalam komuniti dan memperhebat akses kepada pendidikan tinggi untuk semua".

-- BERNAMA-ANADOLU

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan