AM

SANGAT MENGECEWAKAN BILA AHLI PARLIMEN PONTENG

04/03/2026 04:43 PM

Oleh Wong Chun Wai

KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Sangat mengecewakan buat rakyat Malaysia.

Kita menyangka Ahli-ahli Parlimen akan menyokong detik penting dan bersejarah ini untuk menyokong inisiatif reformasi yang sekian lama dinantikan, Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 yang merentasi perbezaan politik.

Penggubal undang-undang negara tidak seharusnya merungut tentang kemajuan reformasi yang dikatakan perlahan, namun apabila peluang untuk membawa perubahan, ramai memilih untuk berkecuali dan lebih teruk lagi tidak hadir ke Dewan Rakyat.

Ia merupakan satu peluang untuk meminda Perlembagaan Persekutuan dengan menetapkan had tempoh 10 tahun bagi mana-mana individu untuk berkhidmat sebagai Perdana Menteri.

Ketidakhadiran lapan Ahli Parlimen kerajaan, ditambah pula dengan keengganan sebahagian Ahli Parlimen pembangkang untuk menyokong pindaan tersebut, amat mengecewakan.

Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, bekas pemimpin Bersatu yang kini menyokong kerajaan, berkata beliau memutuskan untuk tidak menghadiri persidangan itu kerana tidak bersetuju dengan undang-undang baharu tersebut.

Datuk Larry Sng, Ahli Parlimen dari Julau, Sarawak, berkata beliau terperangkap dalam kesesakan lalu lintas, yang sukar untuk diterima sebagai satu alasan.

“Saya dalam perjalanan kembali ke Parlimen selepas mempunyai urusan di tempat lain, tetapi terperangkap dalam kesesakan lalu lintas,” kata Sng seperti yang dilaporkan.

Ahli Parlimen Tapah Datuk Seri M. Saravanan, pula berkata beliau menghadiri satu majlis keagamaan.

Selain itu, ahli Parlimen yang tidak hadir ialah Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Sembrong), Datuk Henry Sum Agong (Lawas), Datuk Suhaimi Nasir (Libaran), Riduan Rubin (Tenom) dan Datuk Seri Jeffrey Kitingan (Keningau).

Dalam undian secara blok, 146 Ahli Parlimen menyokong rang undang-undang itu, 44 berkecuali dan 32 tidak hadir. Ia memerlukan sekurang-kurangnya 148 undi untuk mencapai majoriti dua pertiga yang diperlukan bagi pindaan perlembagaan.

Semua Ahli Parlimen Pakatan Harapan dari DAP dan PKR hadir dan mengundi menyokong rang undang-undang tersebut.

Pun begitu, kegagalan Kerajaan MADANI untuk meluluskan rang undang-undang itu bukanlah satu undi tidak percaya. Tiada sesiapa yang mengundi menentang rang undang-undang tersebut.

Namun, tanpa ragu, ia memberikan imej yang tidak baik dan keadaan yang sangat mengecewakan.  Sepatutnya terdapat penyelarasan yang lebih rapi.

Pihak whip dan penyelaras kerajaan tidak seharusnya mengambil mudah bahawa Ahli Parlimen kerajaan akan hadir, sedangkan ini adalah hal penting mengenai pindaan terhadap Perlembangaan Persekutuan.

Pengundi Malaysia tidak akan menerima alasan remeh yang diberikan oleh Ahli Parlimen kerajaan yang tidak hadir. Malah, sesetengah daripada mereka langsung tidak berusaha untuk memberi sebarang penjelasan.

Kita bukan sahaja bercakap tentang kegagalan mendapat kelulusan kerana kekurangan dua undi, tetapi hakikatnya bahawa 32 Ahli Parlimen langsung tidak hadir. Secara terus terang – mereka ponteng.

Apabila Ahli Parlimen gagal hadir untuk undian bersejarah sedemikian, ia bukanlah satu kesilapan prosedur yang kecil, sebaliknya ia merupakan pengabaian tanggungjawab.

Tiada alasan untuk berkecuali, melainkan niatnya memang untuk tidak menyokong semata-mata demi menggagalkan rang undang-undang kerajaan itu.

Oleh itu, Ahli Parlimen pembangkang tidak mempunyai sebab yang munasabah untuk mengundi menentang, memandangkan ia merupakan reformasi penting yang bertujuan memperkukuh tadbir urus demokrasi.

Had tempoh dua penggal atau 10 tahun bagi jawatan Perdana Menteri akan menjadi isyarat jelas komitmen Malaysia terhadap pembaharuan institusi serta usaha mencegah penumpuan kuasa yang berlebihan.

Namun, pembangkang memilih untuk berkecuali dan kemudian berbangga selepas rang undang-undang itu gagal diluluskan. Seseorang mungkin tidak bersetuju dengan kerajaan semasa, tetapi reformasi perlembagaan sepatutnya melangkaui sempadan parti politik.

Pindaan yang dicadangkan bukanlah untuk menyasarkan mana-mana individu atau parti politik. Ia adalah untuk memastikan bahawa tiada Perdana Menteri pada masa hadapan, tanpa mengira parti, akan dapat kekal memegang jawatan selama-lamanya.

Ia mengenai jaminan institusi, bukan tentang individu. Ia bukan soal politik semata-mata tetapi  satu inisiatif reformasi politik yang penting dan berimpak besar.

Malah, ia bukan sesuatu yang baharu kerana, contohnya di Amerika Syarikat, jawatan presiden dihadkan kepada dua penggal dan di Indonesia, perlembagaan turut mengehadkan presiden kepada dua penggal.

Sebagai pengundi, kita mempunyai hak untuk menuntut akauntabiliti dan pihak media mesti mengajukan soalan kepada 32 Ahli Parlimen mengapa mereka tidak hadir. 

Sudah cukup parah kita terpaksa berdepan dengan sandiwara sesetengah Ahli Parlimen, dan apabila tiba masa untuk membuat keputusan mengenai perkara-perkara penting, kita mengharapkan mereka berada di Dewan.

Bagaimanapun, ia bukanlah penamat kerana pindaan itu boleh dan sepatutnya dibawa semula. Jika reformasi benar-benar bermakna, ia memerlukan disiplin, kesepakatan, dan yang paling penting kesediaan meletakkan kepentingan negara melebihi kepentingan parti.

-- BERNAMA

 

*Datuk Seri Wong Chun Wai adalah Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Tokoh Wartawan Negara

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan