KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Emiriah Arab Bersatu (UAE) menegaskan bahawa tiada penyelesaian ketenteraan sebenar mampu meredakan ketegangan serantau di Timur Tengah ketika ini dan menggesa agar kembali segera kepada penyelesaian politik melalui rundingan.
Penasihat Diplomatik Kanan kepada Presiden UAE Dr Anwar Gargash dalam temu bual bersama CNN pada Sabtu (28 Feb) berkata kembali ke meja rundingan adalah penting sambil mengecam apa yang disifatkannya sebagai pencerobohan Iran terhadap UAE dan negara Teluk lain.
“Kami telah berusaha keras dan ikhlas untuk mengelakkan senario ini, bagi mengelakkan perang. Perkara ini telah menjadi sebahagian daripada diplomasi kami untuk sekian lama, dalam pelbagai perbincangan dengan pihak Amerika Syarikat (AS), Iran dan juga Israel bahawa perang tidak akan menyelesaikan masalah dan jalan penyelesaiannya adalah melalui rundingan.
“UAE dengan jelas menggesa supaya semua pihak kembali ke meja rundingan. Kami amat kecewa dan mengecam tindakan Iran meluaskan konflik ini sehingga melibatkan negara jiran yang telah berusaha keras untuk mengelakkan situasi ini,” katanya.
Gargash menekankan bahawa keutamaan UAE merangkumi dua perkara utama iaitu menggesa supaya kembali ke meja rundingan selain memastikan perlindungan terhadap wilayah dan penduduk negara itu.
“Bagi keutamaan pertama, kita perlu kembali ke meja rundingan dan proses politik dan saya percaya ini merupakan pandangan bersama di rantau ini.
“Penekanan kedua bagi kami adalah untuk melindungi UAE, dan dalam hal ini kami juga sedang menangani cabaran ini,” katanya.
Beliau seterusnya memberi jaminan bahawa UAE kekal dalam keadaan baik dengan pelan kecemasan serta sistem pertahanan udara yang aktif melindungi negara itu.
-- BERNAMA
