AM

GANGGUAN ELEKTRIK RUMAH PANGSA KAYU ARA SELESAI

05/03/2026 06:28 PM

KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Isu gangguan bekalan elektrik di Rumah Pangsa Kayu Ara di Petaling Jaya, Selangor yang dihadapi penduduk susulan kerosakan serius pada papan suis utama (MSB) akibat kebakaran di bilik elektrik bangunan berjaya diselesaikan sepenuhnya pada Selasa lepas.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin berkata kerosakan itu berjaya dibaiki melalui peruntukan rasmi pejabat ADUN Dewan Negeri (ADN) Bandar Utama dan kerjasama pihak berkuasa tempatan walaupun kemudahan itu berada di bawah tanggungjawab Badan Pengurusan Bersama (JMB).

Jamaliah yang juga Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Negeri Selangor berkata kerosakan itu tidak berpunca daripada kegagalan Tenaga Nasional Berhad (TNB) membekalkan elektrik, sebaliknya melibatkan komponen papan suis utama yang berfungsi sebagai pusat agihan elektrik ke seluruh bangunan.

“Komponen itu terbakar dan rosak, sekali gus menyebabkan keseluruhan bangunan terputus bekalan elektrik. Insiden ini turut disusuli ketiadaan bekalan air disebabkan motor pam air tidak berfungsi. Rumah ini adalah bangunan persendirian berstrata di bawah seliaan pihak JMB, termasuk tanggungjawab memastikan fasiliti MSB diselenggara mengikut jadual.

“Saya dimaklumkan MSB di premis ini tidak diselenggara sejak 2007. Jadi, tak hairanlah ia terbakar dan rosak. JMB telah mendapatkan kontraktor untuk membuat pemeriksaan bagi kerja-kerja pembaikan dan meminta bantuan pejabat saya untuk menanggung kos pembaikan ini,” katanya dalam hantaran di Facebook. 

Beliau berkata jumlah rasmi kos pembaikan itu adalah RM25,000 dengan JMB hanya mampu menanggung RM5,000 manakala baki RM20,000 ditanggung oleh pejabat ADN Bandar Utama bagi membantu penduduk yang terjejas.

“Walaupun isu ini di bawah tanggungjawab JMB dan tidak berpunca daripada TNB serta tidak melibatkan tanggungjawab langsung kerajaan tempatan mahupun negeri, pejabat saya tetap sedia membantu atas dasar kemanusiaan dan rasa prihatin, terutama ia melibatkan kawasan perumahan kos rendah. 

“Tanpa sebarang alasan, saya setuju menanggung kos pembaikan sebanyak RM20,000, iaitu 80 peratus daripada kos keseluruhan. Ini bukan pembangunan atau penaiktarafan kawasan awam, namun pejabat saya memutuskan melaksanakan projek ini supaya dapat membantu penduduk terkesan,” katanya. 

Jamaliah ketika menjawab dakwaan kerja pembaikan lambat diselesaikan berkata kerja itu dilaksanakan di bawah peruntukan projek kecil pejabat ADN Bandar Utama yang memerlukan pematuhan beberapa prosedur sebelum dapat dilaksanakan.

“Atas faktor kecemasan dan segera, proses yang biasanya memakan masa selama dua hingga empat minggu telah pun saya cuba sedaya upaya pendekkan kepada dua hari bekerja.

“Saya tidak hanya mengarahkan pegawai pejabat saya untuk memastikan isu dapat diselesaikan bersama pihak JMB, malah saya sendiri telah menghubungi semua pihak berkaitan untuk cuba menyelesaikan masalah ini secepat yang mungkin,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan