DUNIA

BURSA MALAYSIA RENDAH DALAM DAGANGAN AWAL

06/03/2026 11:45 AM

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka rendah pada Jumaat, seiring dengan prestasi Wall Street semalaman yang lemah dan kenaikan harga minyak dengan tiada petunjuk krisis di Timur Tengah akan mereda.

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 2.55 mata atau 0.14 peratus kepada 1,710.65 selepas dibuka rendah 0.6 mata kepada 1,712.60.

Pasaran secara menyeluruh negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 236 berbanding 102 manakala 252 kaunter tidak berubah, 2,032 tidak diniagakan dan 22 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 149.11 juta saham bernilai RM110.35 juta.

Menurut Apex Securities Bhd dalam nota penyelidikan hari ini, pasaran dijangka kekal berhati-hati dalam masa terdekat berikutan pelabur memantau risiko geopolitik yang sedang berlaku.

“Situasi tidak menentu dijangka kekal tinggi dan peserta pasaran menilai potensi implikasinya terhadap bekalan tenaga global dan inflasi.

“Bagaimanapun, sebarang petunjuk meredakan ketegangan melalui diplomasi dapat membantu menstabilkan sentimen dan menyokong pemulihan secara berperingkat dalam aset berisiko,” katanya.

Mengenai tumpuan sektor, Apex Securities memaklumkan peralihan kepada sektor tenaga dan berorientasikan eksport berikutan risiko geopolitik yang meningkat dan harga minyak mentah yang tidak menentu.

“Pengeksport berkaitan dolar AS dijangka mendapat manfaat daripada ringgit yang rendah manakala perbankan dan REIT kekal menarik berikutan unjuran pendapatan yang berdaya tahan dan hasil dividen yang stabil,” katanya.

Setakat ini, minyak mentah Brent merosot 1.82 peratus kepada US$83.82 setong.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, IHH Healthcare naik lima sen kepada RM9.03, Press Metal meningkat tiga sen kepada RM7.68, Hong Leong Bank menambah empat sen kepada RM23.22, SD Guthrie mendatar pada RM5.60 dan Maybank merosot dua sen kepada RM11.68.

Dalam senarai paling aktif, Hengyuan Refining Company melonjak sembilan sen kepada RM1.68, Bumi Armada merosot setengah sen kepada 35 sen, GDB mendatar pada 37.5 sen, AirAsia X berkurangan lapan sen kepada RM1.34, Capital A menurun satu sen kepada 44.5 sen dan Velesto menyusut setengah sen kepada 31.5 sen.

Kaunter paling untung termasuklah Nestle, naik 70 sen kepada RM108.80; Petronas Chemicals, 16 sen kepada RM3.67; Petronas Dagangan, 12 sen kepada RM22.32 dan MBM Resources, lapan sen kepada RM4.97.

Kaunter paling rugi ialah Malayan Cement, merosot 11 sen kepada RM8.22; KSL, 10 sen kepada RM3.18; Sunway Construction, sembilan sen kepada RM6.71 dan Elridge Energy, lapan sen kepada RM1.21.

Di papan indeks, Indeks FBM T100 berkurangan 29.2 mata kepada 12,325.68, Indeks FBM Emas merosot 30.30 mata kepada 12,487.03, Indeks FBM 70 jatuh 87.12 mata kepada 17,100.36, Indeks FBM Emas Shariah menurun 23.42 mata kepada 12,150.32 dan Indeks FBM ACE merosot 45.52 mata kepada 4,450.94.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 65.91 mata kepada 20,786.86, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 0.31 mata kepada 174.47, Indeks Tenaga naik 1.33 mata kepada 786.27 dan Indeks Perladangan merosot 0.64 mata kepada 8,186.26.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan