AM

INISIATIF SEJAHTERA MADANI: 22 PESERTA EKASIH DI PERAK TERIMA MOTOSIKAL

06/03/2026 06:50 PM

IPOH, 6 Mac (Bernama) -- Sebanyak 22 peserta eKasih (Pangkalan Data Kemiskinan Nasional) daripada golongan miskin dan miskin tegar di Perak menerima sumbangan motosikal menerusi Inisiatif Kesejahteraan Rakyat Malaysia (Sejahtera MADANI) bagi membantu memudahkan pergerakan serta menjana pendapatan.

Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim berkata program hari ini dianjurkan Pejabat Pembangunan Negeri Perak, Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) Perak.

Beliau berkata sumbangan menerusi program itu merupakan bantuan peralatan sokongan yang diberikan secara khusus kepada golongan sasar berdasarkan penilaian ICU JPM Perak terhadap kegiatan ekonomi dan keperluan semasa golongan berkenaan.

“Ada sebahagiannya (peserta eKasih), memang sudah ada kerja, mereka menjalankan perniagaan kecil-kecilan tetapi dia tidak ada kenderaan persendirian. 

“Jadi kita bantu mereka hari ini dengan menyumbang kenderaan persendirian supaya sedikit sebanyak memudahkan urusan pergerakan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Motosikal Di Bawah Inisiatif Sejahtera MADANI di Dewan Komuniti Sungai Tapah di sini hari ini.

Muhammad Kamil berkata program itu adalah yang pertama kali dilakukan di Perak memfokuskan kepada pemberian motosikal kepada peserta eKasih.

Mengenai hala tuju program bantuan tersebut pada masa hadapan, beliau berkata kerajaan akan sentiasa melihat keperluan dan kehendak semasa rakyat sebelum memutuskan bentuk bantuan yang bakal disalurkan.

Program Sejahtera MADANI ialah satu inisiatif nasional yang diselaras oleh ICU JPM untuk membantu isi rumah miskin dan miskin tegar yang berdaftar dalam sistem eKasih. 

Program itu menghimpunkan pelbagai bentuk intervensi bantuan merentas kementerian, agensi dan pihak swasta bagi memangkas kemiskinan secara berfokus dan bersepadu.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan