AM

MELAKA PERUNTUK LEBIH RM14 JUTA BAGI BANTUAN RAMADAN, SYAWAL - AB RAUF

06/03/2026 10:10 PM

MELAKA, 6 Mac (Bernama) -- Kerajaan Negeri Melaka memperuntukkan RM14.043 juta sebagai bantuan Ramadan dan Syawal kepada golongan memerlukan di negeri itu, kata Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata ia membabitkan RM11.9 juta bagi Bantuan Persediaan Ramadan kepada asnaf dan RM1.8 juta bagi Bantuan Syawal kepada 11,351 penerima sebagai persiapan Aidilfitri. 

“Selain itu, kerajaan negeri juga menyampaikan Sumbangan Mesra Pendidikan Tahfiz bernilai RM294,000 kepada 98 pusat tahfiz berdaftar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Santunan Kasih Ramadan dan Iftar Jamaie Mega Kerajaan Negeri Melaka yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama kira-kira 3,000 tetamu di Dataran Pusat Islam Masjid Al-Azim, di Bukit Palah, di sini hari ini.

Ab Rauf berkata sebanyak RM49,000 turut disumbangkan kepada 500 pengusaha industri gig dan 90 anak yatim di negeri berkenaan.

“Inilah roh di sebalik gagasan inisiatif Melaka Sayang Rakyat (MeSRa)…setiap dasar perancangan dan peruntukan dirangka dengan satu tujuan jelas iaitu untuk menjamin kesejahteraan rakyat Melaka bagi menikmati pembangunan secara adil dan menyeluruh,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan