AM

KONFLIK TIMUR TENGAH: MALAYSIA NYATAKAN SIMPATI, SOKONGAN KEPADA QATAR DAN BAHRAIN

07/03/2026 09:48 AM

KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) -- Malaysia menyatakan simpati serta sokongan kepada Qatar dan Bahrain yang berdepan ancaman kedaulatan, infrastruktur serta keselamatan negara susulan tindakan balas Iran terhadap serangan rejim Israel bersama Amerika Syarikat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu dizahirkan semasa perbualan menerusi panggilan telefon dengan Perdana Menteri Qatar Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani, kemudian dengan Putera Mahkota dan Perdana Menteri Bahrain Putera Salman bin Hamad Al-Khalifa, semalam.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata mereka juga saling bertukar pandangan mengenai perkembangan semasa di Qatar dan Bahrain serta rantau Timur Tengah, susulan konflik yang melibatkan Israel, Amerika Syarikat dan Iran.

"Saya turut menghargai usaha Kerajaan Qatar dan Bahrain dalam menjamin keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia yang berada di kedua-dua negara tersebut.

"Kami sependapat agar semua pihak mengutamakan pendekatan damai serta menahan diri daripada sebarang tindakan yang boleh menjejaskan kestabilan dan keamanan serantau," kata beliau menerusi hantaran di Facebook malam tadi.

Anwar juga berharap semoga Ramadan yang mulia ini dapat memperkukuh perpaduan ummah dan membuka ruang kepada keamanan serta kestabilan yang lebih berkekalan di rantau ini dan seluruh dunia.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan