AM

JEMAAH MENTERI ZAHIR UCAPAN SELAMAT MENYAMBUT NUZUL QURAN

07/03/2026 03:39 PM

KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) -- Jemaah Menteri hari ini mengambil kesempatan berkongsi ucapan selamat menyambut Nuzul Quran dan mengajak umat Islam di negara ini memperbanyak bacaan serta mengamalkan ajaran al-Quran dalam kehidupan seharian.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata al-Quran bukan sahaja menjadi panduan hidup, malah penawar hati serta cahaya yang menerangi jalan kehidupan di dunia dan akhirat.

“Marilah kita bersama-sama memperbanyak membaca, memahami serta mengamalkan ajaran al-Quran dalam kehidupan seharian,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani pula berharap umat Islam terus menghayati dan mengamalkan ajaran al-Quran serta menjadikannya panduan dalam membina masyarakat yang berilmu, berintegriti dan penuh ihsan.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata Nuzul Quran merupakan peristiwa agung dalam sejarah peradaban Islam yang menandakan turunnya wahyu pertama kepada Nabi Muhammad SAW.

“Peristiwa ini bukan sekadar detik spiritual, tetapi juga menjadi titik permulaan kepada pembentukan tamadun ilmu yang berteraskan wahyu,” katanya.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad turut mengajak umat Islam meningkatkan taqwa, meneruskan tadabbur al-Quran dan mengejar keampunan Allah SWT, sekali gus diberikan rezeki untuk bertemu lailatulqadar.

Nuzul Quran mengambil sempena peristiwa agung dalam sejarah umat Islam apabila diturunkan al-Quran menerusi wahyu pertama kepada Nabi Muhammad SAW pada 17 Ramadan.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata Nuzul Quran merupakan antara peristiwa terpenting dalam Islam yang menjadi peringatan bahawa wahyu pertama yang diturunkan membawa cahaya ilmu, keadilan dan rahmat untuk seluruh manusia.

Dalam membina negara yang lebih adil, berintegriti dan berperikemanusiaan, katanya nilai-nilai yang terkandung dalam al-Quran sentiasa menjadi pedoman, selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang antara lain berteraskan nilai-nilai ihsan, hormat, yakin dan kesejahteraan.

"Semoga kita terus menjadikan Al-Quran sebagai kompas moral dan pedoman dalam kehidupan dan dalam memimpin masa depan negara," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Menteri Digital Gobind Singh Deo yang tidak ketinggalan menyampaikan ucapan berkata Nuzul Quran bukan sahaja menandakan penurunan wahyu kepada Nabi Muhammad, bahkan juga seruan untuk menuntut dan memartabatkan ilmu dalam kehidupan seharian. 

"Semoga hari yang mulia ini bakal menginspirasikan umat Islam di seluruh Malaysia untuk terus menjadikan al-Quran sebagai manual panduan kehidupan serta meraikan semangat cintakan ilmu dan sentiasa memberikan yang terbaik dalam setiap apa yang dikerjakan," katanya.

Dalam pada itu, Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang menyeru rakyat Malaysia bersama-sama terus menghayati nilai-nilai murni seperti kasih sayang, keadilan dan hormat antara sesama insan.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan pula berharap rakyat Malaysia dapat mengambil hikmah daripada Nuzul Quran dengan memperkukuh perpaduan, memperbanyak amal kebajikan dan terus menyemai semangat saling menghormati dalam masyarakat majmuk negara ini.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan