Daripada Nurhafizah Tan
BEIJING, 7 Mac (Bernama) -- Pelancongan masuk (inbound tourism) China melonjak pada 2025, dengan jumlah pelawat melebihi 150 juta, mewakili peningkatan 17 peratus daripada tahun sebelumnya, didorong oleh dasar bebas visa yang diperluas dan perkhidmatan pelancongan yang dipertingkatkan.
Menteri Kebudayaan dan Pelancongan Sun Yeli berkata pertumbuhan itu didorong oleh langkah mempromosikan pelancongan masuk, termasuk kemasukan tanpa visa bagi pengembara dari 50 negara dan pengecualian visa transit untuk pelawat dari 55 negara, sekali gus memudahkan pelancong antarabangsa, termasuk rakyat Malaysia, melawat China.
Beliau berkata jumlah perbelanjaan pelancong asing melebihi USD130 bilion, dengan lebih 30 juta ketibaan asing direkodkan, mencerminkan keberkesanan dasar yang diperkenalkan untuk meningkatkan pelancongan masuk.
Beliau menambah penggunaan pembayaran mudah alih yang semakin meningkat telah menjadikan transaksi lebih mudah dan menjadi sebahagian daripada pengalaman pelawat.
“Bagi negara yang mempunyai lebih ramai pelancong, seperti Kazakhstan dan Malaysia, kebanyakan pengunjung kini menggunakan pembayaran mudah alih,” katanya pada sidang media pada sesi keempat Kongres Rakyat Kebangsaan ke-14 yang diadakan di sini pada Sabtu.
Sun menyatakan China juga telah mengembangkan terminal tempat jualan (POS) dan kemudahan pertukaran mata wang untuk memudahkan perbelanjaan asing.
Beliau juga mengetengahkan skim bayaran balik cukai perlepasan yang bertujuan menjadikan membeli-belah lebih menarik bagi pelawat antarabangsa, khususnya untuk barangan elektronik, kebudayaan dan produk kreatif.
Sementara itu, Sun berkata pelawat asing mencari pengalaman asli, termasuk menaiki kereta api berkelajuan tinggi, menonton rancangan dron, menikmati urutan tradisional Cina, memakai Hanfu dan merasai masakan tempatan seperti ‘hotpot’.
“Ramai pelancong turut mendalami budaya tempatan, dengan ada antara mereka menyapa penduduk dengan ‘ni hao’, mencerminkan minat mereka untuk merasai kehidupan seharian Cina,” katanya.
Sun berkata kementerian akan terus mempromosikan landskap, budaya, sejarah dan gaya hidup China yang indah, sambil menambah baik lagi pemprosesan visa, kawalan sempadan, pengangkutan, penginapan, makan dan perkhidmatan persiaran untuk mengukuhkan jenama pelancongan negara.
Sun menekankan bahawa China kekal komited untuk menyampaikan perkhidmatan berkualiti tinggi bagi memastikan pelancong menikmati pengalaman perjalanan yang memuaskan.
-- BERNAMA
