KUCHING, 7 Mac (Bernama) -- Peningkatan nilai bantuan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) pada tahun kedua pelaksanaannya membantu rakyat menangani peningkatan kos sara hidup, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata kerajaan negeri telah menambah peruntukan program itu kepada RM640 juta, berbanding sekitar RM480 juta sebelum ini, dengan peningkatan jumlah bantuan yang diterima penerima bagi memastikan setiap keluarga di Sarawak mempunyai bekalan keperluan asas yang mencukupi.
“Dasarnya kita mahu semua keluarga setidak-tidaknya dapur mereka berasap dan barangan asas termasuk beras, gula, kopi, teh ada stok dalam sebuah keluarga,” katanya ketika melancarkan SKAS bagi 2026 di Bazar Ramadan Stutong di sini hari ini.
Beliau berkata program itu memberi manfaat kepada 857,824 rakyat Sarawak yang layak, khususnya golongan B40 dan kategori lain yang memerlukan.
Susulan peningkatan peruntukan tersebut, Abang Johari berkata kadar bantuan bagi setiap kategori penerima turut ditambah bagi memastikan lebih ramai rakyat dapat menikmati manfaatnya secara langsung.
“Kita meningkatkan kuantum bantuan. Nilai bantuan RM250 meningkat kepada RM300 bagi individu bujang dan RM400 meningkat kepada RM500 bagi warga emas tiada pasangan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata penyaluran bantuan akan dibuat secara tiga peringkat bermula 10 Mac, diikuti pada Mei dan seterusnya pada November bagi membantu perbelanjaan persekolahan anak-anak.
Abang Johari berkata bantuan tersebut disalurkan secara digital menggunakan platform pembayaran tanpa tunai menerusi aplikasi SPay Global.
“Cara kita ialah menggunakan SPay Global…hanya bayar gunakan telefon sahaja, ambil barang dan bayar terus. Sekarang semua boleh guna kod QR,” katanya sambil menambah selain membantu rakyat, peruntukan tersebut turut memberi rangsangan kepada ekonomi tempatan melalui peningkatan permintaan domestik.
Beliau berkata pelaksanaan SKAS itu juga sebenarnya merupakan satu daripada suntikan dana ke dalam ekonomi.
“Kita menyuntik RM640 juta ke dalam sistem ekonomi dan dengan pengganda kira-kira 2.5, ia akan meningkatkan peredaran wang dalam pasaran,” katanya sambil menjelaskan pendekatan itu bukan sahaja membantu rakyat mendapatkan keperluan asas, malah merancakkan perniagaan peruncitan di seluruh Sarawak.
-- BERNAMA
