AM

PNB SUMBANG RM650,000 LAKSANA INISIATIF PROGRAM SANTUNI MADANI KAMPUNG TELOK KANDIS

08/03/2026 10:55 AM

ALOR SETAR, 8 Mac (Bernama) -- Permodalan Nasional Bhd (PNB) menyalurkan sumbangan sebanyak RM650,000 bagi melaksanakan  pelbagai inisiatif di bawah program Santuni MADANI di Kampung Telok Kandis, di sini. 

Timbalan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB Datuk Rick Ramli berkata menerusi program itu tumpuan diberikan kepada pembangunan ekonomi komuniti, pendidikan serta kebajikan masyarakat setempat.

Beliau berkata program itu merupakan inisiatif yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memastikan manfaat pembangunan ekonomi dapat dirasai secara langsung oleh komuniti akar umbi.

Selain Kampung Telok Kandis, PNB juga memperuntukkan sebanyak RM670,000 bagi pelaksanaan program sama di Kampung Merlimau Pantai, Melaka menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan bagi kedua-dua kampung sebanyak RM1.32 juta.

“Misi PNB adalah membina kemakmuran bersama dan setiap pelaburan yang dilaksanakan perlu memberi nilai langsung kepada komuniti serta membuka peluang jangka panjang kepada generasi akan datang,” katanya pada Majlis Santuni MADANI Ramadan dan Iftar Perdana di kampung itu, malam tadi.

Rick berkata menerusi program tersebut,  seramai 13 usahawan tempatan menerima bimbingan daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) meliputi pengukuhan asas perniagaan, pendigitalan operasi serta peluasan akses pasaran bagi meningkatkan kemampanan pendapatan dan merancakkan ekonomi luar bandar.

Seorang usahawan katering dan makanan sejuk beku, Mohd Redzuan Zainal, 43, yang mengikuti program itu berkata inisiatif tersebut memberi keyakinan kepada dia untuk mengembangkan lagi perniagaannya.

“Program ini telah memberi saya keyakinan untuk mengembangkan perniagaan. Peralatan dan sesi bimbingan telah membantu saya memahami dengan lebih baik cara mengurus perniagaan serta meneroka peluang baharu. 

"Saya berterima kasih kerana organisasi seperti PNB terus menyokong usahawan kecil dalam komuniti kami di Kampung Telok Kandis," katanya. 

Sementara  itu Rick berkata PNB turut membiayai pembinaan dewan serbaguna terbuka, menaik taraf Tabika KEMAS serta kerja baik pulih pintu gerbang kampung berkenaan bagi meningkatkan kemudahan awam dan memperkukuh identiti komuniti setempat.

Beliau berkata, syarikat pelaburan itu juga menyalurkan sumbangan tunai dan barangan makanan asas kepada 60 asnaf selain menyumbang katil perubatan serta kerusi roda kepada keluarga yang memerlukan sokongan kesihatan.

Selain itu, Rick berkata dalam usaha menyokong pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), 10 pelajar dari kampung sekitar daerah Kota Setar dan Sik menerima biasiswa TVET PNB untuk melanjutkan pengajian diploma dalam bidang perakaunan, kejuruteraan dan perniagaan.

Sekolah Kebangsaan Alor Mengkudu di sini turut dipilih sebagai Sekolah Angkat Malaysia MADANI–PNB dengan sumbangan televisyen pintar serta bantuan kepada murid asnaf bagi menyokong pembelajaran digital dan pembangunan pelajar secara holistik.

Beliau berkata pelaksanaan Santuni MADANI di Kampung Telok Kandis mencerminkan pendekatan menyeluruh PNB dalam memastikan pelaburan syarikat berkaitan kerajaan itu diterjemahkan kepada manfaat langsung kepada rakyat, selari dengan agenda pembangunan inklusif negara.

"PNB komited memastikan setiap inisiatif yang dilaksanakan benar-benar memberi kesan kepada kehidupan rakyat dengan memperkukuh ekonomi, membuka akses pendidikan dan meningkatkan kesejahteraan komuniti secara mampan,” katanya. 

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan