PUTRAJAYA, 9 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menzahirkan penghargaan kepada seluruh jentera Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) atas komitmen melaksanakan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) bagi membantu rakyat.
Beliau berkata pelaksanaan program itu memerlukan komitmen tinggi khususnya sepanjang bulan Ramadan apabila jumlah penganjuran PJRM meningkat dengan ketara hingga mencecah 1,898 siri.
“Bayangkan bulan Ramadan ini sahaja (jumlah) PJRM (dianjurkan) 1,898 siri. Ini bermakna saudara bekerja tiga ke empat kali ganda daripada bulan-bulan sebelumnya dan saya belum dengar ada rungutan.
“Saya juga merasa bangga dengan komitmen saudara-saudara (jentera KPDN) menjayakan program ini kerana program ini secara langsung memberi manfaat kepada rakyat Malaysia. Terima kasih banyak,” kata Anwar.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali dan timbalannya Datuk Dr Fuziah Salleh serta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata beliau telah mengarahkan KPDN untuk meningkatkan jenis barangan dijual di setiap PJRM, iaitu daripada 40 jenis kepada minimum 50 jenis barangan.
“Ini turut mengambil kira peningkatan pembelian barangan basah sepanjang Ramadan dan sebagai persiapan menyambut Hari Raya,” katanya.
Untuk rekod, sepanjang 2025, sebanyak 25,708 siri PJRM telah dilaksanakan di seluruh negara dengan lebih 27 juta transaksi pembelian direkodkan.
Perdana Menteri juga akan mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL) hari ini yang akan menyentuh mengenai persiapan awal berhubung Pelan Tindakan Sara Hidup Negara (NCLAP) 2026–2030.
“Pelan itu antara langkah strategik dalam mendepani isu kos sara hidup secara lebih menyeluruh dan berkesan. Kerangkanya akan dibentangkan dalam Mesyuarat NACCOL yang akan saya pengerusikan sebentar lagi,” katanya
-- BERNAMA
