ISTANBUL, 9 Mac (Bernama-Anadolu) -- Sri Lanka akan memberikan visa percuma selama sebulan kepada kru kapal Iran yang diselamatkan daripada kapal tentera laut yang mengalami kecemasan, bagi membolehkan mereka kekal di negara pulau itu di bawah perlindungan kemanusiaan, lapor Anadolu Ajansi yang memetik akhbar tempatan.
Menteri Keselamatan Awam Sri Lanka, Ananda Wijepala berkata visa sementara itu akan dikeluarkan kepada mangsa yang terselamat dan dibawa ke Sri Lanka selepas insiden maritim yang melibatkan kapal Iran di Lautan Hindi.
“Mereka akan diberikan visa percuma selama sebulan,” kata Wijepala kepada pemberita pada Ahad, menurut akhbar Daily Mirror.
Wijepala berkata keputusan itu bukan bertujuan untuk menyokong atau menentang mana-mana negara dan akan berpandukan kewajipan undang-undang antarabangsa.
“Kami tidak akan memihak kepada sesiapa tetapi akan bertindak atas dasar kemanusiaan di bawah undang-undang antarabangsa,” katanya.
Sebuah kapal selam AS pada Rabu lalu menyerang kapal perang Iran IRIS Dena di Lautan Hindi, mengorbankan 104 anak kapal dan mencederakan 32 yang lain, yang kemudiannya diselamatkan oleh Tentera Laut Sri Lanka.
Dua puluh dua pelaut dipindahkan ke Pangkalan Tentera Udara Koggala selepas menerima rawatan perubatan, manakala 10 lagi masih berada di hospital, termasuk lapan yang masih menerima rawatan kecemasan.
Beberapa hari kemudian, Sri Lanka memindahkan 208 anak kapal daripada kapal kedua Iran, IRIS Bushehr, selepas ia meminta bantuan daripada Colombo.
Kedua-dua kapal itu dalam perjalanan pulang daripada latihan tentera laut Milan Peace 2026 di India.
-- BERNAMA-ANADOLU
