EKONOMI

FMM CADANG WUJUDKAN PASUKAN KHAS TANGANI KRISIS EKSPORT SUSULAN GANGGUAN SELAT HORMUZ

10/03/2026 12:38 PM

KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) mencadangkan penubuhan Pasukan Petugas Khas Krisis Eksport bagi menangani kesan konflik Iran-Amerika Syarikat-Israel serta gangguan di Selat Hormuz terhadap eksport pembuatan dan perdagangan maritim negara.

Presiden FMM Jacob Lee Chor Kok berkata pasukan petugas bersepadu kerajaan–industri itu boleh diaktifkan secara ad hoc apabila berlaku gangguan perdagangan, membolehkan agensi kerajaan dan pihak industri bekerjasama segera untuk menilai situasi, berkongsi maklumat serta menangani cabaran operasi pengeksport dan syarikat penghantaran.

“Perkembangan antarabangsa terkini menggesa satu mekanisme perlu diwujudkan, memandangkan ketegangan berterusan di Timur Tengah memberi kesan kepada laluan maritim utama.

“Satu platform tindak balas bersepadu membolehkan agensi kerajaan dan industri bertindak balas segera untuk menilai perkembangan serta berkongsi maklumat apabila gangguan berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lee berkata syarikat penghantaran utama kini menaikkan yuran kecemasan bagi kargo yang bergerak ke dan dari pelabuhan di negara Teluk, manakala premium insurans risiko perang juga meningkat dengan ketara.

Mengambil contoh Pelabuhan Klang yang kini mengalami kesesakan ekoran konflik tersebut, beliau berkata keadaan itu dijangka bertambah buruk sekiranya laluan penghantaran terganggu lagi.

Sektor pembuatan Malaysia turut menghadapi pendedahan langsung terhadap gangguan yang berlaku di laluan penghantaran global itu berikutan lebih 90 peratus perdagangan negara dihantar melalui laut, kata Lee.

“Kestabilan dan kebolehpercayaan logistik maritim amat penting untuk mengekalkan prestasi eksport dan pengeluaran industri. Perkembangan terkini menunjukkan berlakunya kenaikan kos penghantaran dan gangguan operasi,” kata beliau.

Berdasarkan pengalaman industri semasa krisis Laut Merah 2024, kadar yuran penghantaran bagi laluan yang terjejas meningkat sehingga tiga kali ganda dalam beberapa minggu, manakala pengalihan kapal memanjangkan masa transit sehingga dua minggu.

“Pengeksport ke pasaran Teluk kini menghadapi kos penghantaran lebih tinggi, kapasiti kapal yang terhad, serta ketidakpastian jadual penghantaran. Harga minyak global yang tinggi juga boleh meningkatkan kos tenaga industri dan logistik,” katanya.

Dalam pada itu, Lee berkata meskipun Majlis Kerjasama Teluk (GCC) bukan destinasi eksport utama Malaysia, wilayah berkenaan tetap merupakan pasaran kedua penting dan hab penghantaran untuk kargo ke Afrika, Asia Tengah dan sebahagian Eropah.

Justeru itu, gangguan di pelabuhan Teluk tetap memberi kesan bukan sahaja kepada eksport langsung tetapi juga penghantaran ke pasaran lain.

Berhubung pasukan petugas khas yang dicadangkan itu, Lee berkata ia harus menyediakan risikan pasaran masa nyata mengenai kadar tambang, laluan perkapalan dan perkembangan logistik, memudahkan perkongsian maklumat antara agensi kerajaan dan pihak berkepentingan industri,

Selain itu, pasukan itu juga diharap dapat menyelaras tindak balas pantas untuk menangani cabaran operasi yang dihadapi oleh pengeksport dan syarikat perkapalan.

Beliau mencadangkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mengetuai pasukan itu serta bekerjasama dengan wakil dari kementerian berkaitan, pihak berkuasa pelabuhan, Kementerian Kewangan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Bank Negara Malaysia, serta wakil industri melalui FMM.

“Pasukan petugas ini juga akan membolehkan gangguan yang muncul dikenal pasti lebih awal dan, apabila perlu, memperkenalkan langkah sokongan untuk membantu pengeksport menghadapi kos penghantaran yang lebih tinggi, kekangan kapasiti kapal, dan kelewatan penghantaran,” kata Lee.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan