KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Touch ’n Go Sdn Bhd memperkenalkan patung plushie dengan keupayaan Komunikasi Medan Dekat (NFC) pertamanya yang diinspirasikan daripada dua hidangan pagi ikonik Malaysia -- nasi lemak dan air ikat tepi.
Syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini berkata Touch 'n Go Breakfast Plush Charm berfungsi seperti kad Touch 'n Go biasa dan boleh digunakan di plaza tol, terminal parkir dan pintu transit di seluruh negara, membolehkan pengguna membuat pembayaran dengan hanya satu ketikan sahaja.
Menurutnya, pengguna hanya perlu mencari simbol NFC pada patung plushie itu dan mengetiknya pada pembaca yang ditetapkan untuk melakukan transaksi.
“Direka sebagai kenang-kenangan nostalgia dan aksesori praktikal, patung plushie ini boleh digantung pada beg, dilekatkan pada kunci atau lanyard.
"Ini merupakan produk patung plushie pertama Touch 'n Go, yang menambahkan lagi keceriaan dalam ekspresi gaya hidup sambil mengekalkan mobiliti yang lancar," menurut kenyataan itu.
Touch ’n Go Breakfast Plush Charm yang berharga RM55.90, boleh dibeli secara eksklusif di TNG Shop sementara stok masih ada.
Touch 'n Go berkata ia juga akan memperkenalkan dua rekaan patung plushie tambahan pada 19 Mac, mengembangkan koleksi dengan lebih banyak ciptaan yang diinspirasikan daripada gaya hidup tempatan.
Untuk maklumat lanjut atau pembelian, boleh layari kedai dalam talian Touch 'n Go di https://shop.touchngo.com.my.
-- BERNAMA
