KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB) optimis terhadap Pelan Induk Pasaran Modal (CMP) 2026–2030 dengan menyifatkan pelan tindakan berkenaan berpotensi meningkatkan kerancakan pasaran modal Malaysia.
Dalam satu nota penyelidikan hari ini, bank itu berkata sasaran bagi 2030 termasuk saiz pasaran sebanyak RM5.8 trilion hingga RM6.3 trilion, merupakan satu impian yang tinggi tetapi boleh dicapai.
Katanya, ini berikutan terdapat garis dasar yang kukuh iaitu sebanyak RM4.3 trilion pada 2025 bersamaan kira-kira 2.1 kali ganda Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Bagaimanapun, ia berkata bahawa senario batas atas CMP untuk 2030 dengan saiz pasaran RM6.3 trilion bergantung kepada penyelarasan seluruh negara termasuk insentif cukai dan pelaburan yang terperinci, pembaharuan yang berterusan, fleksibiliti akaun modal yang pragmatik serta isyarat dasar yang jelas mengenai kemampanan, kecerdasan buatan (AI) dan pendigitalan.
“Kunci kepada kejayaan adalah pelaksanaan. Bagaimanapun, ganjaran untuk pelaksanaan yang berdisiplin sangat berharga bagi sebuah pasaran yang memperuntukkan modal kepada penggunaan terbaiknya, meluaskan penyertaan dan keterjaminan persaraan bagi rakyat Malaysia.
"Selain itu menyalurkan pembiayaan untuk peralihan iklim dan daya tahan serta berperanan sebagai pintu masuk bagi ASEAN dan Asia secara keseluruhan,” katanya.
Bank berkenaan juga melihat program 'MY Value Up' sebagai teras utama CMP untuk pasaran awam.
MBSB IB berkata inisiatif ini dengan tepat meletakkan tanggungjawab kepada lembaga pengarah dan pengurusan untuk mencipta nilai, memperkenalkan petunjuk prestasi utama yang jelas termasuk pulangan pemegang saham keseluruhan.
Selain itu, pulangan atas modal yang dilaburkan (ROIC) dan inovasi serta mencadangkan insentif seperti indeks premium dan rebat yuran bersama-sama dengan langkah-langkah lebih ketat untuk syarikat senaraian awam yang secara berterusan tidak patuh atau tidak aktif.
"Penyeliaan amaran awal dan tempoh pelan tindakan yang dirancang dapat mencegah kemusnahan nilai daripada menjadi kronik," katanya.
Secara keseluruhan, bank itu berkata 'MY Value Up' boleh meningkatkan kualiti pasaran dan penilaian jika digabungkan dengan jangkaan di bawah Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia dengan peningkatan liputan penyelidikan untuk syarikat kecil dan sederhana supaya kemajuan pengoperasian dapat diterjemahkan kepada penemuan harga.
"Kami juga percaya ini dapat menggalakkan syarikat korporat untuk mengejar penyusunan semula lembaran imbangan yang lebih cekap pada masa hadapan termasuk penambahbaikan dalam metrik pegangan saham seperti jumlah saham yang beredar dan modal saham," kata MBSB IB.
Walaupun optimis terhadap prospek jangka panjang CMP, bank tersebut menyatakan bahawa pasaran kini berdepan cabaran jangka pendek terutamanya daripada ketegangan geopolitik dan konflik yang melibatkan Iran serta Amerika Syarikat-Israel.
Ia berkata perkembangan ini mungkin akan terus menjadi pengaruh utama ke atas pasaran sehingga permusuhan berhenti walaupun tempoh konflik tersebut masih tidak menentu.
Memandangkan ketidaktentuan berkenaan, bank tersebut mencadangkan supaya pelabur secara taktikal mencari perlindungan dalam sektor-sektor yang lebih terjamin.
Ini termasuk dana amanah pelaburan hartanah (REIT), utiliti, penjagaan kesihatan dan barangan pengguna asas yang biasanya menawarkan pendapatan yang stabil dan dividen yang konsisten tanpa mengira keadaan pasaran yang lebih meluas.
"Kami juga percaya pelabur mungkin mengambil kira pandangan perdagangan terhadap saham minyak dan gas," tambahnya.
-- BERNAMA
