KOTA KINABALU, 10 Mac (Bernama) -- Pelaburan dalam sektor maritim, pelancongan dan industri makanan laut di Sabah tidak akan berkembang dengan baik tanpa jaminan keselamatan perairan negeri, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata pengukuhan keselamatan itu menjadi agenda utama yang tidak akan dikompromi bagi memudahkan pertumbuhan ekonomi di bawah pelan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 sekali gus merealisasikan potensi besar negeri sebagai Hab Ekonomi Biru di rantau ASEAN Timur.
Beliau berkata dalam kerangka SMJ 2.0, sektor maritim dan Ekonomi Biru dikenal pasti sebagai pemacu pertumbuhan baharu melalui pembangunan industri perikanan moden, pelancongan marin serta pembangunan bandar pesisir dan sempadan.
"Sabah mempunyai kedudukan strategik dengan garis pantai melebihi 1,400 kilometer dan bertindak sebagai barisan hadapan Malaysia di Borneo serta Laut Sulu," katanya ketika berucap pada majlis penyerahan kuih-muih Hari Raya kepada anggota pasukan keselamatan dan petugas kesihatan di Menara Kinabalu di sini hari ini.
Hajiji berkata di Sabah Timur, Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone) diperkukuh melalui peranan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) yang menyelaras operasi keselamatan darat, laut dan udara sebagai simbol kedaulatan negara.
"Oleh itu, pengukuhan keselamatan amat penting bukan saja melindungi rakyat, malah membuka ruang kepada pembangunan bandar-bandar sempadan sebagai pintu ekonomi baharu negeri," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata selain keselamatan fizikal, kerajaan negeri turut menghargai komitmen petugas kesihatan yang terus memerangi penyakit berjangkit termasuk Tuberkulosis (TB) yang masih menjadi cabaran kesihatan awam di negeri ini.
Beliau berkata usaha pengesanan awal, rawatan berterusan dan program kesedaran kesihatan oleh petugas terbabit amat penting dalam melindungi komuniti khususnya di kawasan luar bandar dan pesisir.
-- BERNAMA
