PUTRAJAYA, 10 Mac (Bernama) -- Konflik global yang berlaku pada masa ini mengingatkan rakyat Malaysia bahawa keamanan dan kestabilan yang dinikmati adalah satu nikmat yang sangat berharga dan tidak harus dipandang ringan.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata konflik itu mengingatkan semua pihak tentang pentingnya untuk terus memelihara semangat perpaduan, saling menghormati dan hidup dalam suasana muhibah.
“Dalam kita menikmati suasana Ramadan yang penuh kedamaian di negara kita, kita juga tidak dapat menafikan bahawa pada masa yang sama terdapat masyarakat di beberapa bahagian dunia yang sedang berdepan dengan konflik dan peperangan.
“Bulan Ramadan ini juga memberi ruang kepada kita untuk menanam rasa kesyukuran atas keamanan dan keharmonian yang dikecapi oleh negara kita,” katanya ketika berucap pada Program Sentuhan Kasih Ramadan Bersama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan di sini hari ini.
Nga ketika menyentuh mengenai inisiatif kementerian berkata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang giat melaksanakan Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar (PEKB) di seluruh negara melalui kerjasama rakan strategik KPKT bagi membantu golongan miskin bandar menjana pendapatan lebih mampan melalui latihan keusahawanan dan kemahiran bersasar.
Nga turut memberi contoh seorang ibu tunggal yang menyertai Program PEKB pada 2025 dan di situ, beliau belajar membuat kek dan cara untuk mempromosikan produk dalam media sosial.
“Hasilnya, beliau berjaya meningkatkan pendapatan bulanan daripada RM500 kepada RM4,000. Kejayaan seperti ini adalah selari dengan aspirasi Malaysia MADANI dan di KPKT, usaha dan tanggungjawab yang kami pikul bukan sahaja memenuhi amanah tugas tetapi turut menjadi sebahagian daripada usaha membantu sesama insan,” katanya.
Pada majlis itu, Nga bersama pengurusan tertinggi KPKT turut menyempurnakan penyampaian sumbangan Aidilfitri berupa wang tunai dan bakul bantuan kepada 108 warga KPKT yang memerlukan.
Inisiatif yang diterajui oleh Badan Kebajikan dan Sukan KPKT (KESKEP) dan Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) itu bertujuan meringankan beban kakitangan KPKT dalam persiapan menyambut hari raya.
Majlis turut diisi dengan Sesi Tadabbur al-Quran yang disampaikan oleh Ustaz Syahmi Syazeril Azmi, sesi Tadarus al-Quran, pengisian kerohanian dan sesi Penyampaian Hadiah Dekorasi Ramadan KPKT 1447H kepada warga kementerian yang berjaya menceriakan suasana di pejabat sepanjang bulan Ramadan.
-- BERNAMA
