JENAYAH & MAHKAMAH

POLIS MARIN TAHAN DUA LELAKI, RAMPAS PETROL DAN ROKOK SELUDUP

10/03/2026 08:51 PM

KOTA KINABALU, 10 Mac (Bernama) -- Pasukan Polis Marin (PPM) menahan dua lelaki serta merampas minyak petrol dan rokok seludup bernilai RM182,741.80 dalam tiga operasi di kawasan pantai timur Sabah, semalam.

PPM Wilayah 4 Sabah dalam kenyataan hari ini memaklumkan di Semporna, pasukan operasi menemukan 52 tong jerikin masing-masing berisi 25 liter petrol, yang juga barang kawalan, dalam serbuan di sebuah rumah atas air di Kampung Halo.

"Sebuah bot laju turut diperiksa dan ditemukan lapan lagi tong jerikin berisi 30 liter petrol setiap tong disimpan dalam ruangan bot... seorang lelaki warga asing ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen sah memiliki barang kawalan yang dipercayai untuk diseludup ke negara jiran," menurut kenyataan itu.

PPM turut menahan seorang lelaki yang memandu pacuan empat roda dalam keadaan mencurigakan di kawasan stesen minyak di sini di Tawau dan merampas tujuh tong jerikin berisi 157 liter petrol .

Menurut PPM, ketika menjalankan aktiviti pemantauan di kawasan pasar ikan di Lahad Datu, pasukan itu mengesan dua lelaki sedang memunggah plastik hitam disyaki mengandungi rokok seludup dari negara jiran.

“Kedua-dua suspek melarikan diri... beberapa plastik hitam ditemukan mengandungi rokok pelbagai jenis tanpa cukai," katanya.

Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan