SHAH ALAM, 10 Mac (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan menerima bayaran zakat perniagaan berjumlah RM8.48 juta daripada lima anak syarikat kerajaan negeri dan badan korporat pada Majlis Berbuka Puasa Sultan Selangor Bersama Rakyat serta Penyampaian Sumbangan Hari Raya 1447H Daerah Petaling.
Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat ke majlis yang diadakan di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong di sini.
Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) mendahului senarai syarikat pembayar zakat dengan menyerahkan RM2.66 juta, diikuti Sime Darby Property Berhad (RM2 juta), Jakel Trading Sdn Bhd (RM1.52 juta), Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) (RM1.3 juta) dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) (RM1 juta).
Pada majlis itu, Sultan Selangor turut berkenan menyampaikan sumbangan Aidilfitri berjumlah RM500 kepada setiap 510 asnaf terdiri daripada fakir (100), miskin (354) dan mualaf (56) membabitkan peruntukan RM255,000, sebelum menunaikan solat Maghrib secara berjemaah.
Turut hadir Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor Dr Mohammad Fahmi Ngah, Mufti Selangor Datuk Dr Opir Anhar dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Mohd Shahzihan Ahmad.
-- BERNAMA
