KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Persidangan Dewan Negara hari ini dimaklumkan tiada projek pembangunan pendidikan di Selangor dikategorikan sebagai 'projek sakit' setakat ini, berdasarkan semakan rekod Kementerian Pendidikan (KPM).
Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata projek dikategorikan sebagai projek sakit apabila kemajuan kerja fizikal mengalami kelewatan melebihi dua bulan atau 20 peratus berbanding jadual yang ditetapkan dalam kontrak, mengikut mana yang terdahulu.
Beliau berkata KPM telah melaksanakan beberapa mekanisme pemantauan bagi memastikan projek pembinaan sekolah baharu dan naik taraf, khususnya di kawasan pertumbuhan pesat termasuk di Selangor dapat disiapkan mengikut jadual tanpa menjadi projek sakit.
Bagi menampung pertambahan pelajar di kawasan yang pesat berkembang, pembinaan sebuah sekolah menengah baharu, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Kemuning 2 di Shah Alam telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) Rolling Plan 1 (RP1) 2026.
“Projek itu merangkumi 42 bilik darjah serta kemudahan lain mengikut piawaian termasuk blok pentadbiran, bengkel elektif, kantin, surau dan dewan sekolah, selain blok Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI). Sekolah ini akan dibina di atas tanah seluas 4.612 hektar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Tiew Way Keng mengenai mekanisme pemantauan projek sekolah baharu atau naik taraf di kawasan pertumbuhan pesat Selangor serta langkah perlindungan murid daripada buli siber dan penipuan dalam talian.
Wong menjelaskan setakat 5 Nov lepas, Cawangan Kerja Pendidikan Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia telah dilantik sebagai pengurus program, dengan kerja awal dan lawatan bersepadu telah dilaksanakan.
Dalam pada itu, beliau berkata KPM bersama Kementerian Digital melalui CyberSecurity Malaysia telah membangunkan Modul Etika Siber Nasional (ESN) bagi menyokong pelaksanaan program CyberSAFE® in Schools untuk murid berusia tujuh hingga 17 tahun.
“Modul ini merangkumi enam topik utama, iaitu kesihatan dan kesejahteraan digital, fasih digital, adab digital, privasi dan keselamatan digital, hak dan tanggungjawab digital serta perdagangan digital,” katanya.
Selain itu, KPM sedang merangka Panduan Literasi AI bagi membimbing guru dan murid menggunakan teknologi itu secara beretika, merangkumi aspek keselamatan data dan integriti akademik yang dijangka dimuktamadkan pada April 2026.
-- BERNAMA
