Oleh Zufazlin Baharuddin
KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Bursa Malaysia kekal tinggi pada tengah hari, menjejaki prestasi positif kebanyakan pasaran serantau.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 2.67 mata kepada 1,704.35 berbanding paras 1,701.68 ketika ditutup semalam.
Indeks penanda aras itu dibuka 1.58 mata lebih rendah pada 1,700.10 dan bergerak antara 1,699.02 dan 1,707.52 sepanjang sesi pagi.
Sentimen pasaran kekal positif dengan jumlah kaunter untung melebihi kaunter rugi sebanyak 454 berbanding 431. Sebanyak 481 kaunter kekal tidak berubah, 1,300 kaunter tidak diniagakan dan 10 digantung.
Jumlah dagangan mencatat 1.40 bilion unit saham bernilai RM1.12 bilion.
Di peringkat serantau, Indeks Hang Seng Hong Kong meningkat 0.08 peratus kepada 25,981.77, Nikkei 225 Jepun naik 2.52 peratus kepada 55,632.90, dan KOSPI Korea Selatan meningkat 3.70 peratus kepada 5,735.11, manakala Indeks Straits Times Singapura susut 0.03 peratus kepada 4,858.97.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata pelabur berharap konflik Iran akan berakhir tidak lama lagi, tetapi tetap berhati-hati selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump memberi isyarat untuk menamatkan perang tersebut.
“Kita masih perlu berhati-hati kerana Trump cenderung membuat perubahan mendadak,” katanya, sambil menambah kenaikan hari ini masih belum menampung penurunan pada Isnin.
Antara saham wajaran tinggi, Maybank meningkat 12 sen kepada RM11.78, Public Bank naik dua sen kepada RM4.77, CIMB Group meningkat 13 sen kepada RM7.98, Tenaga Nasional kekal pada RM14.14, manakala IHH Healthcare susut tiga sen kepada RM8.98.
Bagi kaunter paling aktif, AirAsia X dan Zetrix AI masing-masing turun setengah sen kepada RM1.24 dan 78 sen, Capital A susut dua sen kepada 43 sen, manakala GDB Holdings dan Pegasus Heights kekal pada 37 sen dan setengah sen masing-masing.
Antara kaunter paling untung, Petronas Dagangan meningkat 44 sen kepada RM21.94, Hong Leong Financial Group naik 26 sen kepada RM20.86, Fraser & Neave Holdings menambah 34 sen kepada RM32.20, UMS Integration Ltd naik 27 sen kepada RM4.78, dan Allianz Malaysia meningkat 20 sen kepada RM21.50.
Sementara itu antara kaunter paling rugi, Nestle susut RM1.90 kepada RM102.10, Malaysian Pacific Industries turun 48 sen kepada RM30.06, Petronas Gas merosot 10 sen kepada RM17.50, QL Resources turun sembilan sen kepada RM3.93, dan Spritzer merosot lapan sen kepada RM2.69.
Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 meningkat 31.99 mata kepada 12,302.58, Indeks FBM Emas naik 30.76 mata kepada 12,458.56, Indeks FBM 70 meningkat 101.96 mata kepada 17,166.66, Indeks FBM Emas Shariah menokok 25.80 mata kepada 12,127.45, manakala Indeks FBM ACE susut 4.58 mata kepada 4,354.64.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 94.03 mata kepada 20,771.09, Indeks Tenaga naik 6.22 mata kepada 787.77, manakala Indeks Perladangan susut 6.10 mata kepada 8,361.39 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.12 mata kepada 171.96.
-- BERNAMA
