AM

JAKPAW EDAR 2,500 KAMPIT BERAS KEPADA ANGGOTA ATM

11/03/2026 02:18 PM

SUNGAI PETANI, 11 Mac (Bernama) -- Sebanyak 2,500 kampit beras akan diedarkan kepada kem Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di seluruh negara sempena sambutan hari raya tidak lama lagi. 

Penaung Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah (JAKPAW) Pulau Pinang Tan Sri Fng Ah Seng berkata sumbangan itu menjadi acara tahunan yang dilaksanakan menerusi Yayasan Muhibah Tan Sri Fng Ah Seng bagi membantu meringankan persiapan hari raya anggota ATM.

“Secara keseluruhannya, kami peruntukan RM1 juta setiap tahun bagi menyalurkan sumbangan kepada anggota tentera dan golongan memerlukan. Sumbangan kepada anggota ATM ini kami beri saban tahun,” katanya selepas menyampaikan sumbangan berkenaan kepada wakil ATM dekat sini hari ini.

Beliau yang juga pengerusi yayasan itu berkata badan amal itu ditubuhkan sejak 2011 bagi membantu golongan memerlukan tanpa mengira kaum, agama atau bangsa.

“Ini antara program tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk membantu rakyat Malaysia, terutama semasa menyambut apa juga perayaan.

“Misi kami adalah untuk menggalakkan semangat perpaduan dan bekerjasama bagi memajukan masyarakat. Selaras dengan pepatah berat sama dipikul, ringan sama dijinjing,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan