SANDAKAN, 11 Mac (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sabah akan menyalurkan bantuan wang tunai RM10,000 kepada keluarga warga emas yang maut dalam insiden tanah runtuh di sini pagi tadi.
Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan Sabah Datuk Awang Shahminan Sahari berkata bagi tujuan itu, Presiden Majlis Perbandaran Sandakan Walter Kenson telah diarahkan mengesan waris mangsa.
“Perkara ini untuk menyalurkan bantuan tersebut secepat mungkin,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu Augustine Frederick J Lingam, 76, dilaporkan maut selepas tertimbus dalam runtuhan tanah di belakang sebuah hotel di sini ketika cuba menghidupkan generator.
Mangsa mahu menghidupkan generator susulan gangguan bekalan elektrik di hotel itu yang berlaku semasa hujan lebat.
-- BERNAMA
