JENAYAH & MAHKAMAH

LELAKI MAUT TERJUN DARI TINGKAT TIGA ELAK SERBUAN POLIS

12/03/2026 09:38 AM

KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Seorang lelaki warga tempatan maut selepas bertindak terjun dari tingkat tiga sebuah unit kediaman di Jalan Gombak ketika cuba melarikan diri daripada serbuan polis, di sini malam tadi. 

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata dalam kejadian pada 9.07 malam itu, pihak polis sedang melakukan serbuan di kediaman berkenaan berhubung kes curi motosikal dan dua suspek cuba melarikan diri dengan bertindak terjun dari unit kediaman berkenaan.

“Mangsa berusia 52 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut, manakala seorang lagi suspek selamat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Fadil berkata dalam serbuan itu, polis menahan 12 individu, iaitu empat lelaki, lima wanita termasuk tiga kanak-kanak, berumur lingkungan tiga hingga 42 tahun, dan dua daripadanya warganegara Indonesia.

Beliau berkata pihak polis turut merampas dua motosikal curi dan beberapa jenis dadah di kediaman itu, serta siasatan lanjut sedang dijalankan.

Polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menularkan maklumat tidak sahih bagi mengelakkan kegusaran awam serta mengganggu siasatan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan