PUTRAJAYA, 12 Mac (Bernama) -- Kerajaan akan memberi keutamaan kepada usaha mengekalkan kestabilan ekonomi, mengawal kesan terhadap kos sara hidup serta memastikan ekonomi domestik terus berfungsi dengan baik susulan cabaran geopolitik dan ketidaktentuan ekonomi global.
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata konflik di Asia Barat berpotensi mengganggu kestabilan bekalan tenaga global serta aliran perdagangan antarabangsa, sekali gus boleh mencetuskan kejutan harga komoditi.
“Oleh itu, dalam menghadapi cabaran ini, kita harus melihatnya bukan sekadar sebagai risiko. Sebaliknya ia membuka ruang untuk Malaysia memperkukuh daya tahan ekonomi dan melakukan penstrukturan semula kepada ekonomi berasaskan penciptaan nilai.
“Atas sebab itulah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) mesti dilihat bukan sekadar sebagai rancangan lima tahun, tetapi sebagai instrumen utama untuk memacu reformasi, memperkukuh daya tahan dan menjamin kesejahteraan rakyat secara mampan,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Sistem MyRMK: Sistem Pemantauan Pelan Pelaksanaan Dasar RMK13 di sini hari ini.
Akmal Nasrullah berkata mekanisme pelaksanaan dan pemantauan RMK13 turut diperkukuh melalui penambahbaikan peranan Kumpulan Perancang Antara Agensi (IAPG), yang kini bukan lagi tertumpu kepada perancangan semata-mata tetapi turut memberi penekanan kepada pelaksanaan dan pemantauan dasar.
“Dalam konteks ini, sistem MyRMK yang dilancarkan pada hari ini merupakan satu anjakan penting dalam memperkukuh tadbir urus pembangunan negara.
“MyRMK dibangunkan sebagai platform pemantauan bersepadu yang menghubungkan maklumat pelaksanaan, prestasi kewangan, pencapaian output dan status isu merentas kementerian serta agensi,” tambahnya.
Beliau berkata integrasi dengan sistem lain seperti MyProjek dan MyBelanjawan akan membolehkan kerajaan melihat pelaksanaan secara lebih menyeluruh, lebih telus dan lebih responsif.
“Atas sebab itu, pemantauan RMK13 akan dilaksanakan melalui dua paksi utama, iaitu pemantauan berasaskan sistem, melalui MyRMK dan integrasi data secara masa nyata dan pemantauan berasaskan lapangan, melalui sesi libat urus, lawatan tapak, pemeriksaan kemajuan serta pendekatan turun padang secara berkala.
“Pendekatan ini penting kerana ada kalanya sesuatu projek kelihatan lancar di atas kertas, tetapi berdepan kekangan sebenar di lapangan seperti isu penyelarasan, kelewatan, masalah tapak, kebolehcapaian, spesifikasi, atau keperluan rakyat setempat yang berubah,” katanya lagi.
Sementara itu, Akmal Nasrullah berkata setakat ini perkembangan semasa menunjukkan konflik tersebut belum memperlihatkan tanda-tanda akan berakhir dalam masa terdekat.
Beliau berkata walaupun konflik Asia Barat berakhir, keadaan ekonomi global tidak semestinya kembali normal serta-merta kerana proses pemulihan memerlukan masa.
"Apabila konflik selesai sekalipun, ada perkara yang memerlukan tempoh tertentu untuk kembali pulih," katanya.
Sehubungan itu, Akmal Nasrullah berkata Kementerian Ekonomi memantau rapi beberapa indikator utama termasuk kadar inflasi, kestabilan rantaian bekalan serta peningkatan kos pengangkutan global bagi menilai kesannya terhadap ekonomi domestik.
Beliau berkata kementerian berkaitan (termasuk Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) pula akan melaksanakan langkah mitigasi di peringkat operasi sekiranya perlu, manakala Kementerian Ekonomi memantau perkembangan tersebut secara menyeluruh dari sudut makroekonomi.
"Sudah pasti setiap kementerian yang berkaitan itu lebih rapat mengetahui keadaan sebenar kerana mereka berada di peringkat operasi dan peringkat mitigasi yang mungkin perlu diambil secara tuntas, sementara Kementerian Ekonomi akan memantau secara keseluruhan," katanya.
Akmal Nasrullah berkata mesyuarat khas Jemaah Menteri akan diadakan esok bagi meneliti perkembangan semasa kesan konflik di Asia Barat terhadap ekonomi negara.
Menurutnya, perbincangan awal telah diadakan semalam dengan melibatkan beberapa kementerian berkaitan bagi menilai perkembangan semasa serta impaknya kepada ekonomi negara.
"Dapatan (hasil daripada perbincangan berkenaan) daripada itu akan kita kemukakan ke mesyuarat esok untuk diperhalusi dan dibincangkan tindakan seterusnya," katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam pada sidang media khas dilaporkan berkata jawatankuasa khas mula diaktifkan untuk menilai impak ekonomi ekoran konflik antara Amerika Syarikat dan Iran.
Jawatankuasa khas itu dipengerusikan Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah yang akan membuat penilaian bersama Menteri Ekonomi dan menteri lain yang berkaitan.
-- BERNAMA
