JENAYAH & MAHKAMAH

GURU DIDAKWA KEMUKA INVOIS PALSU PERALATAN SUKAN

12/03/2026 01:29 PM

KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Seorang Guru Penolong Kanan Kokurikulum sebuah sekolah menengah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu bagi pembekalan peralatan sukan berjumlah RM22,728, empat tahun lepas.

Sahnan Nuddin Abdul Razak, 47, didakwa mengemukakan invois New Sport One Enterprise yang mengandungi butiran palsu kepada pengetua sekolah berkenaan yang berusia 60 tahun dengan niat untuk memperdayakannya.

Tuntutan itu melibatkan pembekalan 80 unit pagar lumba lari, 44 unit jersi larian dan 44 unit pakaian sukan yang sebenarnya tidak pernah dilaksanakan oleh New Sport One Enterprise.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah sekolah menengah di Putrajaya pada 26 Mei 2020 mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (2) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai butir palsu itu atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sahnan Nuddin juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan iaitu secara tidak jujur menggunakan sebagai tulen invois New Sport One Enterprise berjumlah RM22,728 untuk kerja-kerja pembekalan peralatan sukan membabitkan barangan sukan sama, yang mana tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen tersebut adalah palsu.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di lokasi dan tarikh sama, mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fadhly Mohd Zamry menawarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri sebulan sekali di pejabat SPRM berhampiran sehingga kes selesai.

Peguam Jason Wee Chuan Yuan yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya merupakan seorang guru yang telah mengajar hampir 15 tahun selain menanggung kakaknya yang mempunyai masalah kesihatan.

Hakim Rosli Ahmad membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan dan menetapkan 16 April ini untuk sebutan kes.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan