JENAYAH & MAHKAMAH

PEGAWAI AADK DIDAKWA GUNA DOKUMEN PALSU UNTUK TUNTUTAN LEBIH RM19,000

12/03/2026 04:34 PM

KOTA KINABALU, 12 Mac (Bernama) -- Seorang pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas enam pertuduhan mengemukakan dokumen palsu bagi mendapatkan bayaran perkhidmatan berjumlah RM19,440, lapan tahun lepas.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, Bakri Bibi, 53, didakwa dengan niat curang menggunakan dokumen palsu bagi mendapatkan bayaran perkhidmatan makan dan minum untuk program anjuran AADK di Kunak berjumlah RM9,700.

Sementara itu, bagi pertuduhan keempat, dia didakwa menggunakan dokumen palsu bagi tujuan sama untuk tuntutan makan dan minum program AADK di Tawau sebanyak RM4,500.

Bagi pertuduhan kelima dan keenam pula, Bakri didakwa menggunakan dokumen palsu untuk mendapatkan bayaran perkhidmatan membekal bahan binaan aktiviti gotong-royong bersama komuniti di Tawau berjumlah RM5,240.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat AADK Negeri Sabah di sini, antara Ogos 2018 dan April 2019.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 468 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Norsham Shaharom dan tertuduh diwakili peguam Zahir Shah.

Hakim Elsie Primus membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin, melapor diri di pejabat SPRM dua bulan sekali, menyerahkan pasport serta tidak boleh mengganggu saksi dan proses perbicaraan.

Mahkamah menetapkan 27 April ini untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan