EKONOMI

HARGA MINYAK KEKAL TIDAK MENENTU, RISIKO BEKALAN BERTERUSAN WALAU KONFLIK ASIA BARAT DIJANGKA TERKAWAL - MBSB IB

12/03/2026 05:39 PM

KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Walaupun terdapat petunjuk terkini bahawa konflik di Asia Barat mungkin dapat dikawal, risiko terhadap bekalan minyak global masih belum diselesaikan sepenuhnya dan premium risiko geopolitik yang mempengaruhi harga minyak mentah dijangka kekal dalam tempoh terdekat, menurut MBSB Investment Bank Bhd.

Bank pelaburan itu memaklumkan penilaian tersebut dibuat berdasarkan senario aktiviti ketenteraan yang kekal terhad kepada serangan bersasar terhadap aset strategik, dengan konflik dijangka berlanjutan antara dua hingga tiga minggu serta kemungkinan gangguan berterusan atau penutupan sementara di Selat Hormuz.

“Berdasarkan andaian semasa, kami menjangkakan harga minyak mentah akan berada dalam julat US$90 hingga US$100 setong, mencerminkan sebahagian pelonggaran ketegangan selain ketidaktentuan berterusan berkaitan infrastruktur tenaga dan laluan perkapalan di rantau berkenaan,” menurutnya dalam nota penyelidikan hari ini.

MBSB IB memaklumkan kemusnahan beberapa kemudahan minyak dan gas di beberapa kawasan di Asia Barat turut menambah ketidaktentuan terhadap bekalan minyak mentah global, memandangkan sebahagian infrastruktur yang terjejas memerlukan masa untuk kembali beroperasi sepenuhnya.

“Walaupun konflik secara keseluruhannya dilihat masih terkawal ketika ini, kerosakan pada kemudahan utama dan rangkaian logistik berpotensi mengetatkan keadaan bekalan dalam jangka terdekat,” katanya.

Dalam persekitaran sedemikian, bank pelaburan itu berkata harga minyak mentah yang kekal pada paras tinggi dijangka mendorong pengeluar utama minyak mempercepatkan pelaburan dan aktiviti pembangunan bagi menampung kekurangan bekalan akibat gangguan tersebut.

“Secara sejarah, tempoh harga minyak yang tinggi lazimnya mendorong pengeluar meningkatkan perbelanjaan bagi aktiviti penerokaan, pengeluaran dan pembangunan medan minyak.

“Keadaan ini lazimnya meningkatkan aktiviti dalam segmen huluan rantaian nilai minyak dan gas, selain merangsang permintaan terhadap perkhidmatan kejuruteraan, penyelenggaraan serta sokongan luar pesisir,” menurutnya.

MBSB IB mengekalkan penarafan ‘Neutral’ terhadap sektor minyak dan gas, sambil menyatakan pemain yang menyokong segmen huluan berpotensi mendapat manfaat sekiranya harga minyak kekal tinggi.

“Antara saham pilihan kami ialah Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Bhd dengan harga sasaran disemak kepada 5.5 sen, Deleum Bhd (RM1.92) dan Bumi Armada Bhd (54 sen) yang berada pada kedudukan baik untuk memanfaatkan peningkatan permintaan dalam kejuruteraan luar pesisir, perkhidmatan penyelenggaraan dan operasi pengeluaran terapung apabila pelaburan huluan meningkat,” menurutnya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan