KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Majlis Peguam mengalu-alukan usaha kerajaan memperkukuh tadbir urus dan akauntabiliti syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), sambil menyifatkannya sebagai langkah penting ke arah membina negara berdaya usaha yang berteraskan kedaulatan undang-undang.
Presiden Majlis Peguam Mohamad Ezri Abdul Wahab berkata sebagai sebuah enterprising state, kerajaan memainkan peranan aktif dalam aktiviti komersial, mengurus aset negara dan bekerjasama dengan sektor swasta untuk mencapai manfaat ekonomi melalui GLC, badan berkanun dan institusi pelaburan awam.
“Fokus berterusan kerajaan terhadap pembaharuan tadbir urus mencerminkan pengiktirafan penting bahawa penglibatan ekonomi negara mesti disertai dengan disiplin undang-undang yang kukuh dan akauntabiliti institusi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamad Ezri berkata penambahbaikan tadbir urus yang telah dilaksanakan sepanjang tahun, termasuk pengurusan pemegang saham yang lebih jelas, lembaga pengarah yang lebih mantap, akauntabiliti berasaskan prestasi, disiplin perolehan serta rangka kerja risiko dan integriti yang dipertingkatkan, telah memberikan kesan yang nyata dan positif.
“Langkah-langkah ini telah menyumbang kepada peningkatan prestasi kewangan, keyakinan pelabur yang lebih kukuh, pengurangan kebocoran serta ketahanan yang lebih tinggi,” katanya.
Mohamad Ezri berkata Majlis Peguam menyokong sebarang pelan tindakan berstruktur yang dibina atas reformasi ini dengan meletakkan aktiviti komersial negara dalam kerangka undang-undang yang lebih jelas dan mantap, sambil menekankan bahawa undang-undang yang jelas tidak membataskan perniagaan sebaliknya memudahkannya.
Beliau berkata rangka kerja yang berprinsip dan telus mengukuhkan kedaulatan undang-undang, memberikan kepastian kepada pasaran dan pelabur, serta memastikan sumber awam diurus dengan berhati-hati demi manfaat jangka panjang negara.
“Pendekatan sebegini juga meningkatkan tadbir urus dan pematuhan. Mandat yang jelas, piawaian seragam dan pengawasan yang berkesan mengurangkan risiko ketidakpatuhan, penyalahgunaan budi bicara dan rasuah.
“Langkah-langkah ini memastikan akauntabiliti bersifat institusi dan bukannya bersifat sementara, serta penguatkuasaan dilaksanakan secara konsisten, boleh diramal dan adil,” katanya.
Mengalu-alukan inisiatif yang sedang dijalankan, beliau berkata Majlis Peguam juga menyokong hala tuju kerajaan ke arah memperkukuh dan memantapkan tadbir urus aktiviti komersial negara.
“Ini menegaskan bahawa sebarang pelan tindakan yang berasaskan undang-undang yang jelas, ketelusan dan akauntabiliti akan memacu bukan sahaja pertumbuhan ekonomi, tetapi juga kredibiliti institusi dan kepentingan awam jangka panjang,” katanya.
-- BERNAMA
