KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) menyokong usaha memperkukuh penglibatan Lembaga Ikatan Koperasi Antarabangsa Asia dan Pasifik (ICA-AP) dalam jawatankuasa serantau serta inisiatif pembangunan koperasi bagi memperkasa peranan ICA-AP dalam membuat keputusan dasar di peringkat Asia Pasifik.
Presiden ANGKASA Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata sokongan itu disuarakan semasa Mesyuarat ICA-AP di Bangkok, Thailand, pada Selasa lepas yang dipengerusikan Presiden ICA-AP Dr Chandrapal Singh Yadav bagi membincangkan hala tuju pembangunan koperasi di Asia Pasifik.
Beliau yang juga Naib Presiden ICA-AP, berkata Lembaga ICA-AP perlu memainkan peranan lebih aktif dalam memperluas jangkauan keanggotaan di subrantau masing-masing serta mempertimbangkan penubuhan kumpulan kecil keanggotaan bagi memperkukuh penglibatan anggota dalam pelaksanaan program koperasi.
“Langkah tersebut selaras dengan usaha memperluas keterlibatan gerakan koperasi ke arah struktur ekonomi yang lebih saksama dan seimbang melalui kerjasama formal dan tidak formal antara koperasi di negara Asia Pasifik.
“Kerjasama strategik antara koperasi di peringkat serantau bukan sahaja dapat memperluas peluang perniagaan, malah mampu mengukuhkan peranan koperasi sebagai model ekonomi berteraskan rakyat untuk menjana perubahan sebenar menerusi matlamat bersama,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Abdul Fattah berkata peranan ANGKASA yang bertanggungjawab mempengerusikan Jawatankuasa Perniagaan dan Perdagangan ICA-AP akan terus diperkasa bagi memperluas kerjasama ekonomi koperasi serantau.
“Tumpuan juga akan diberikan kepada pembangunan pelancongan koperasi serta usaha mempergiat pemasaran produk koperasi selaras dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026,” menurut kenyataan itu.
Beliau yang juga Presiden Pertubuhan Koperasi ASEAN (ACO) berkata komitmen berterusan dalam memperkukuh jaringan koperasi amat penting bagi memastikan gerakan koperasi terus relevan sebagai pemacu pembangunan sosioekonomi masyarakat.
Beliau berkata fokus itu selaras dengan peranan ANGKASA sebagai badan puncak gerakan koperasi negara, yang berperanan sebagai pemudah cara dalam merapatkan jurang dan mencipta peluang penyertaan ekonomi untuk dimanfaatkan oleh 16,342 koperasi di bawah naungan ANGKASA dengan keanggotaan seramai 7.4 juta orang.
Dalam mesyuarat itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja Perniagaan dan Perdagangan ICA-AP Datuk Abdullah Jusoh membentangkan perkembangan aktiviti jawatankuasa tersebut yang memfokuskan kepada tiga teras iaitu mesyuarat strategik, penyertaan dalam pameran perdagangan serta platform pembangunan kapasiti bagi meningkatkan akses pasaran produk koperasi.
Sebanyak 11 agenda utama dibentangkan termasuk laporan aktiviti serta perkembangan program ICA-AP, pembentangan laporan kewangan dan keanggotaan, laporan aktiviti Jawatankuasa Wanita dan Jawatankuasa Belia ICA-AP, perkembangan program kerjasama antarabangsa termasuk projek ICA-EU, perbincangan Pelan Strategik ICA-AP 2026–2030 serta potensi kerjasama perniagaan koperasi di rantau Asia Pasifik.
ICA-AP merupakan badan gerakan koperasi serantau di bawah ICA yang menghimpunkan 123 organisasi koperasi apeks dari 29 negara di Asia Pasifik.
-- BERNAMA
