KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Scientex Bhd mencatatkan keuntungan bersih yang lebih tinggi sebanyak RM135.18 juta pada suku kedua berakhir 31 Jan 2026 berbanding RM123.95 juta pada suku yang sama tahun kewangan 2025.
Pendapatan bagi suku tersebut meningkat 2.8 peratus kepada RM1.14 bilion daripada RM1.11 bilion.
Syarikat hartanah dan pembungkusan itu melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia memberitahu pendapatan hartanah kumpulan berjumlah RM513.6 juta, mewakili peningkatan 8.3 peratus berbanding RM474.4 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun sebelumnya.
"Kenaikan pendapatan ini disumbangkan oleh pengiktirafan hasil progresif yang stabil daripada projek yang sedang berjalan dan jualan yang menggalakkan daripada pelancaran baharu.
"Sejajar dengan hasil yang lebih tinggi yang direkodkan, keuntungan operasi menokok kepada RM143.6 juta berbanding RM133.1 juta yang dicatatkan pada suku tahun sebelum ini," katanya.
Bagi separuh pertama 2026 berakhir 31 Jan 2026, syarikat itu mencatatkan lonjakan keuntungan bersih sebanyak RM278.09 juta daripada RM252.55 juta, manakala hasil bertambah kepada RM2.29 bilion daripada RM2.21 bilion.
Memandang ke hadapan, ia berkata bahagian pembungkusan terus menghadapi prospek yang mencabar berikutan ketegangan geopolitik yang semakin meruncing seperti konflik Asia Barat yang berterusan.
Keadaan itu telah mencetuskan ketidaktentuan yang lebih tinggi dalam harga tenaga sambil meletakkan tekanan tambahan pada rantaian bekalan dan logistik, menyumbang kepada ketidakstabilan pasaran secara keseluruhan.
"Bahagian itu kekal fokus dalam membuat iinovasi dan meningkatkan pembangunan produk untuk memenuhi keperluan pembungkusan yang disesuaikan, nilai ditambah dan mampan dalam pasaran. Pada masa yang sama, ia juga mengutamakan pengurusan kos serta peningkatan kecekapan operasi bagi memacu daya saing," katanya.
Scientex ketika mengulas mengenai hartanah berkata ia menjangka untuk terus mengembangkan saluran pelancarannya sambil secara konsisten menyampaikan rumah berkualiti dan mampu milik dalam memenuhi permintaan pasaran semasa.
Melangkah ke hadapan, syarikat itu berkata bahagian itu akan terus melancarkan fasa baharu selaras dengan permintaan pasaran sambil mengekalkan momentum pembinaan merentas pembangunan sedia ada.
-- BERNAMA
