JAKARTA, 13 Mac (Bernama) -- Gunung Ibu di Halmahera Barat, Maluku Utara meletus pada petang Jumaat, dengan gegaran gunung berapi itu berlarutan kira-kira 50 saat.
Pemangku Ketua Agensi Geologi Kementerian Tenaga dan Sumber Mineral (ESDM) Dr Lana Saria berkata letusan itu berlaku pada 11.42 waktu tempatan dengan amplitud maksimum 28 milimeter direkodkan.
“Walaupun kepulan abu akibat letusan itu tidak dapat dilihat secara visual oleh pegawai di pos pemantauan, aktiviti itu masih berada dalam kriteria Gunung Ibu, yang kekal pada Tahap Amaran II (Waspada),” katanya, menurut Agensi Berita ANTARA pada Jumaat.
Lana menasihati penduduk yang tinggal berhampiran gunung berapi itu, serta pelawat dan pelancong, supaya mengelakkan aktiviti dalam radius dua kilometer dari kawah aktif tersebut.
“Zon larangan juga telah diperluas kepada 3.5 kilometer ke arah bukaan kawah utara.
“Sekiranya berlaku hujan abu (ashfall), orang ramai yang melakukan aktiviti luar digesa memakai alat perlindungan, termasuk topeng untuk menutup hidung dan mulut serta pelindung mata seperti gogel," katanya.
Beliau juga menggesa orang ramai supaya bertenang, mengelak menyebarkan maklumat tidak sahih dan mengikut arahan pihak berkuasa tempatan.
Katanya pentadbiran Halmahera Barat telah diminta untuk terus berkoordinasi dengan Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) serta pos pemerhatian Gunung Ibu di Kampung Gam Ici bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai aktiviti gunung berapi itu.
-- BERNAMA
