KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) hari ini mengumumkan peletakan jawatan Datuk Razlan Razali sebagai bendaharinya berkuat kuasa serta-merta bagi memberi tumpuan kepada pelaburan peribadi beliau.
Presiden MAM Tan Sri Mokhzani Mahathir dalam kenyataan berkata Razlan telah menjadi tokoh penting dalam sukan permotoran selama beberapa dekad dan minat beliau terhadap perlumbaan serta penganjuran acara membawanya berkhidmat di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Beliau berkata Razlan juga mewujudkan suasana yang menarik di SIC untuk acara antarabangsa seperti F1 dan MotoGP.
“Dedikasi beliau terhadap sukan permotoran dua roda telah membawa kepada penubuhan pasukan lumba SIC dan akhirnya Pasukan MotoGP RNF Racing milik beliau. Sepanjang kerjayanya, pembangunan bakat pelumba kekal menjadi matlamat utama,” katanya
Mokhzani merakamkan penghargaan kepada Razlan atas perkhidmatannya kepada MAM dan komuniti sukan permotoran dan mengucapkan selamat maju jaya, dengan MAM berharap untuk terus berhubung rapat dengan beliau pada masa akan datang.
Sementara itu, Razlan semasa mengesahkan perkara itu berkata beliau tidak dapat memberikan komitmen masa kepada MAM buat masa ini kerana perniagaannya sedang pesat berkembang.
“Jika saya tidak dapat menyumbang sepenuhnya kepada MAM saya tidak akan memegang jawatan itu. Lebih baik jawatan tersebut diberikan kepada orang lain yang boleh menyumbang.
“Saya tidak mahu memegang jawatan itu sekadar pada nama. Memberi peluang kepada bakat baharu untuk menerajui MAM mungkin lebih baik daripada apa yang kita boleh buat,” katanya.
-- BERNAMA
