| BERITA TERGEMPAR | Super League: PDRM FC 1-6 Negeri Sembilan FC | |
KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Kenaikan harga minyak dunia bukan sahaja memberi tekanan kepada negara pengimport minyak, malah turut memberi kesan kepada negara pengeluar minyak seperti Malaysia, kata Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Beliau berkata walaupun banyak pihak beranggapan negara pengeluar minyak seperti Malaysia akan memperoleh keuntungan besar apabila harga minyak meningkat namun realitinya keadaan itu lebih kompleks.
Apabila harga minyak meningkat, lazimnya wujud tiga kesan utama kepada ekonomi, katanya.
“Pertama, harga barang boleh naik. Apabila kos pengangkutan meningkat, harga barang yang sampai ke Malaysia juga boleh meningkat.
“Barang yang dihasilkan dalam negara juga boleh terkesan kerana banyak bahan mentah dan komponen datang dari luar negara,” katanya dalam video menerusi hantaran di platform X, hari ini.
Tengku Zafrul berkata kesan kedua adalah kemungkinan ekonomi dunia menjadi lebih perlahan.
“Apabila harga minyak naik, kos perniagaan meningkat. Ada syarikat yang mengurangkan pengeluaran dan ada juga yang menangguhkan pelaburan.
“Apabila ekonomi dunia menjadi perlahan, permintaan terhadap eksport Malaysia juga boleh terjejas,” katanya.
Beliau berkata kesan ketiga pula adalah impak kenaikan harga minyak tidak sama bagi setiap negara.
“Sekitar 80 peratus negara di dunia ialah pengimport minyak, jadi bagi kebanyakan negara, harga minyak yang tinggi sebenarnya memberi tekanan kepada ekonomi mereka,” katanya.
Tengku Zafrul berkata bagi Malaysia, kesannya adalah bercampur-campur kerana negara memperoleh pendapatan tambahan daripada sektor minyak, namun pada masa sama perlu menanggung kos subsidi yang tinggi.
-- BERNAMA
