KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Perhimpunan Hari Al‑Quds Sedunia 2026 di ibu negara hari ini berlangsung dengan aman tanpa sebarang kejadian tidak diingini.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju ACP Mohamad Lazim Ismail berkata semasa perhimpunan berlangsung, pihaknya menempatkan anggota yang mencukupi bagi memastikan kelancaran perhimpunan berkenaan.
"Dianggarkan sebanyak 380 peserta hadir dalam himpunan itu," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Perhimpunan yang bermula pada 2 petang dan bersurai pada 4.30 petang itu disertai beberapa badan bukan kerajaan (NGO) seperti Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM).
Peserta yang berarak dari Menara Tabung Haji, Jalan Tun Razak selepas solat Jumaat menuju ke Kedutaan Amerika Syarikat dengan kawalan polis, dilihat membawa bendera Palestin dan Iran selain sepanduk yang mengutuk kekejaman Israel dan Amerika Syarikat.
-- BERNAMA
