AM

KERAJAAN SELANGOR IKHTIAR LENGKAPKAN PELAN INDUK PEMBANGUNAN PELABUHAN PULAU CAREY

13/03/2026 10:01 PM

SHAH ALAM, 13 Mac (Bernama) -- Kerajaan Negeri Selangor berikhtiar untuk melengkapkan Pelan Induk Pembangunan Pelabuhan Pulau Carey, susulan keputusan Jemaah Menteri meluluskan pembangunan pelabuhan ketiga di pulau itu pada Rabu lepas.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata bagi tujuan itu, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) bersama Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang merupakan anak syarikat kerajaan negeri akan menerajui pembangunan berkenaan.

“Pelan Induk ini akan meliputi pelbagai aspek termasuk infrastruktur awam seperti utiliti, tenaga boleh baharu, pengangkutan awam, keterhubungan digital, kawasan perindustrian, perumahan, serta pemeliharaan komuniti tempatan termasuk tanah rizab Melayu dan kawasan Orang Asli di Pulau Carey.

“Pelan induk ini kemudian akan menilai keberkesanan untuk mewujudkan Pihak Berkuasa Tempatan Khas bagi menyelia keseluruhan pembangunan Pelabuhan Ketiga Pulau Carey selaras dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa pembangunan ini harus dipercepat untuk masa depan ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Amirudin berkata keputusan Jemaah Menteri meluluskan pembangunan tersebut mampu melonjakkan lagi kedudukan Pelabuhan Klang yang kini menjadi antara 10 pelabuhan utama di dunia yang mengendalikan 14.64 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) pada 2024.

Menjelas lanjut, beliau berkata perancangan itu telah diusahakan kerajaan negeri sejak 2023 sehingga kemuncak pertemuannya dan pasukan yang mewakili negeri Selangor, dengan Perdana Menteri dan Menteri Pengangkutan Anthony Loke serta pasukannya pada 15 Dis 2025.

Amirudin berkata kerajaan negeri turut komited untuk bekerja rapat dengan Kementerian Pengangkutan serta agensi Persekutuan yang berkaitan agar proses pembangunan Pelabuhan Ketiga Pulau Carey dapat dioptimumkan serta mewujudkan Zon Ekonomi Khas dalam kawasan berkenaan. 

“Kesemua ini amat penting supaya Pelabuhan Ketiga Pulau Carey melonjakkan potensi Pelabuhan Klang, sekali gus menjadi pintu utama kemasukan peluang ekonomi bukan sahaja ke Malaysia, tetapi Asia Tenggara, terutamanya dalam keadaan dunia sedang berhadapan dengan krisis global,” katanya.

Pada Rabu lepas, Loke mengumumkan kerajaan telah meluluskan projek pembangunan Terminal Ketiga Pelabuhan Klang di Pulau Carey.

Mesyuarat Kabinet turut meluluskan memorandum Kementerian Pengangkutan bagi pembangunan projek berkenaan, dan akan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Selangor.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan