POLITIK

PN UMUM KETUA PEMBANGKANG SEBELUM AKHIR MAC

14/03/2026 03:49 PM

KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) -- Perikatan Nasional (PN) akan mengumumkan Ketua Pembangkang yang baharu sebelum akhir bulan ini, kata pengerusinya Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Menteri Besar Terengganu itu menerusi satu kenyataan di Facebook berkata jawatan berkenaan yang  disandang Ahli Parlimen Larut yang juga bekas Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin, akan dipegang oleh seorang Ahli Parlimen daripada PAS.

Ahmad Samsuri berkata perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang berlangsung, di sini, hari ini.

“Agenda utama mesyuarat hari ini adalah pemilihan dan pelantikan Pegawai-Pegawai Parti PN berdasarkan Fasal 8.2 dan Fasal 8.3 Perlembagaan Parti PN.

“Perlantikan Pengerusi Badan Perhubungan Negeri PN ditangguhkan ke mesyuarat akan datang setelah lawatan kerja dilakukan oleh Pengerusi PN ke semua negeri selepas Aidilfitri nanti,” katanya.

Naib Presiden PAS itu berkata mesyuarat turut membincangkan persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Melaka yang dijangka diadakan tidak lama lagi.

Berikut adalah senarai kepimpinan baharu PN.

 

Pengerusi: Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar

Timbalan Pengerusi: Tan Sri Muhyiddin Yassin

Timbalan Pengerusi: Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai

Timbalan Pengerusi: Punithan Paramsiven

Timbalan Pengerusi: Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man

Setiausaha Agung: Datuk Seri Takiyuddin Hassan

Timbalan Setiausaha Agung:

i: Datuk Seri Mohamed Azmin Ali

ii: Wong Chia Zhen

iii: Datuk Sivakumar Krishnan

Ketua Penerangan: Tan Sri Annuar Musa

Ketua Pengarah Pilihan Raya: Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin

Bendahari Agung: Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor

Ketua Wanita: Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi

Ketua Pemuda: Afnan Hamimi Taib Azamuddeen

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan