AM

GRAB MALAYSIA LANCAR WOMEN-ONLY RIDES, KEMPEN PENGAMBILAN RAKAN PEMANDU WANITA

14/03/2026 08:14 PM

KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) -- Bersempena Hari Wanita Antarabangsa 2026, Grab Malaysia memperkenalkan dua inisiatif utama dikenali Women-Only Rides (Beta) dan kempen pengambilan rakan pemandu wanita di seluruh negara bertujuan meningkatkan keselamatan, keselesaan serta peluang pendapatan bagi golongan wanita.

Grab Malaysia memaklumkan perkhidmatan Women-Only Rides (Beta) merupakan inisiatif khas yang menyasarkan penumpang wanita dipadankan secara eksklusif dengan pemandu wanita, manakala kempen pengambilan pemandu bertujuan memperluas komuniti pemandu wanita di seluruh negara.

Kini tersedia secara eksklusif melalui tempahan awal (Advance Booking) di Lembah Klang, perkhidmatan Women-Only Rides (Beta) memenuhi permintaan daripada rakan pemandu dan juga pengguna wanita yang mahukan pilihan keselamatan dipertingkat, terutamanya ketika melakukan perjalanan bersendirian.

“Bagi memastikan integriti platform, penumpang perlu melengkapkan proses pengesahan sekali sahaja menggunakan MyKad (atau pasport) berserta swafoto untuk pengesahan jantina, yang akan disemak silang dengan rekod rasmi sebelum mereka boleh mengakses perkhidmatan ini,” menurut kenyataan itu.

Perkhidmatan berkenaan dilancarkan semasa sambutan Hari Wanita Antarabangsa Grab, dianjurkan  pemimpin wanita kanan Grab untuk rakan pemandu wanita, dan dihadiri Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat Lim Hui Ying. 

Sementara itu, Pengarah Urusan Grab Malaysia Adelene Foo berkata pelancaran inisiatif berkenaan mengukuhkan lagi komiten berterusan Grab terhadap keselamatan dan pemerkasaan wanita, selari dengan infrastruktur keselamatan sedia ada Grab serta inisiatif #SisBoleh yang dimulakan pada 2023.

“Ini bukan sekadar ciri baharu, tetapi usaha memastikan setiap wanita mempunyai ruang selamat untuk bergerak dan menjana pendapatan. Dengan mengukuhkan kepercayaan, kita mewujudkan manfaat bersama, keselesaan lebih baik untuk penumpang wanita dan lebih banyak peluang menjana pendapatan untuk rakan pemandu wanita.

“Apabila kita mengutamakan ketenangan fikiran wanita, kami juga menyokong laluannya menuju kebebasan kewangan,” katanya.

Adelene berkata perkhidmatan Women-Only Rides (Beta) melengkapi langkah-langkah keselamatan yang lebih luas seperti gerabak keretapi khas wanita dan zon parkir khusus untuk wanita, dengan memperluas perlindungan tersebut ke perjalanan jarak akhir yang amat penting.

Beliau berkata bagi memenuhi permintaan Women-Only Rides (Beta) serta mewujudkan peluang pendapatan lebih fleksibel, Grab turut melancarkan kempen Pengambilan Rakan Pemandu Wanita yang berlangsung dari 8 Mac hingga 30 Sept tahun ini, bagi menggalakkan lebih ramai wanita memanfaatkan peluang menjana pendapatan fleksibel Grab sambil menyediakan alat dan sokongan yang diperlukan untuk berkembang dalam ekonomi digital.

“Usaha peringkat nasional ini bertujuan memperluas komuniti rakan pemandu wanita dengan berpandukan piawaian keselamatan kukuh yang diterapkan oleh platform ini,” katanya, sambil menambah rakan pemandu wanita baharu berpeluang memperoleh ganjaran bernilai keseluruhan RM100,000 termasuk baucar minyak dan hadiah utama Proton Saga.

Adelene berkata pengumuman ini juga menandakan evolusi #SisBoleh menjadi ekosistem menyeluruh yang berpegang kepada tiga tonggak utama iaitu #SisBoleh Drive With Confidence, #SisBoleh LevelUp, dan #SisBoleh Community bagi menyokong rakan pemandu dan penghantar wanita Grab dengan memberi mereka keselamatan, kemahiran dan perasaan kekitaan sejak mereka menyertai platform ini.  

Belia berkata Women-Only Rides (Beta) dan kempen Pengambilan Rakan Pemandu Wanita  beroperasi berasaskan rangka keselamatan menyeluruh Grab, yang direka supaya setiap pengguna boleh bekerja dan bergerak dengan selamat, yakin, dan berkesan dalam apa jua persekitaran,

“Ia termasuk saringan keselamatan semasa pendaftaran iaitu pemandu menjalani proses saringan ketat sebelum menyertai platform, pengesahan wajah berkuasa kecerdasan buatan (AI) iaitu rakan pemandu dan penumpang perlu menghantar swafoto secara langsung sebelum mengakses aplikasi.

“Selain itu, sistem turut dilengkapi penyamaran nombor bagi melindungi dan memastikan privasi maklumat perhubungan kedua-dua pihak dengan memaparkan satu set digit rawak dan bukan nombor telefon sebenar, ciri butang SOS Bantuan Kecemasan, AudioProtect, teknologi pemantauan perjalanan dan penyelesaian telematik,”  katanya.

Adelene berkata beroperasi di belakang tabir, ciri keselamatan ini membantu memastikan setiap perjalanan Women-Only Rides (Beta) dan setiap perjalanan Grab terasa lebih selamat, supaya wanita dapat memberi tumpuan kepada destinasi seterusnya dan apa yang ingin mereka capai, bukan bagaimana mereka akan pulang ke rumah.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan