POLITIK

AMIRA AISYA PRESIDEN MUDA YANG BAHARU

14/03/2026 11:34 PM

KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) -- Amira Aisya Abd Aziz dipilih sebagai Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang baharu bagi penggal 2026-2029 pada Mesyuarat Agung Tahunan 2025 dan pemilihan sulung parti itu yang berlangsung di Petaling Jaya hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri Puteri Wangsa, Johor itu sebelum ini merupakan pemangku presiden MUDA.

Ketua Penerangan MUDA Rasid Abu Bakar berkata Amira Aisya dipilih sebagai Presiden oleh 25 ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) yang dibentuk pada pemilihan parti itu.

“Pemilihan hari ini berlangsung dengan memilih dahulu 25 ahli CEC yang diundi oleh perwakilan dari seluruh negara. Selepas selesai pemilihan 25 CEC tertinggi, satu mesyuarat (CEC) terus diadakan untuk pemilihan Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Ketua Penerangan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Terdahulu, pemilihan itu menyaksikan 31 calon berentap bagi mengisi 25 kerusi dalam CEC parti berkenaan.

Sebelum ini, MUDA dipimpin oleh Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang melepaskan jawatannya pada 9 Nov 2023.

MUDA secara rasmi diluluskan sebagai sebuah parti politik oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia pada 23 Dis 2021. 

Berikut ialah senarai kepimpinan baharu MUDA bagi sesi 2026-2029.

 

Presiden: Amira Aisya Abd Aziz

 

Timbalan Presiden: Zaidel Baharuddin

 

Naib Presiden: Faezrah Rizalman, Leben Siddarth, Zarul Afiq, Dobby Chew dan Dr R. Siva Prakash 

 

Ketua Penerangan: Rasid Abu Bakar

 

Setiausaha Agung: Ainie Haziqah

 

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan