AM

GERBANG PELITA KAMPUNG BARU DI SRI GADING KEMBALI SETELAH DUA TAHUN

16/03/2026 12:53 PM

BATU PAHAT, 16 Mac (Bernama) -- Penduduk Kampung Baru Sri Gading di sini kembali meraikan kedatangan Syawal dengan membina masjid pelita untuk menghiasi pintu masuk kampung setelah dua tahun tidak dilakukan akibat banjir ketika Ramadan.

Ketua Gerbang Pelita (Geng Sumbu) Kampung Baru Sri Gading Mohd Azam Isnin berkata gerbang pelita itu mula dibina pada 2020 menggunakan kira-kira 1,500 pelita untuk mengisi masa terluang ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Selain itu, pelita tersebut juga bertujuan mengindahkan suasana kampung bagi menyambut kehadiran malam tujuh likur yang menandakan Aidilfitri semakin hampir.

“Gerbang pelita yang dibina juga usaha penduduk kampung terdiri daripada golongan remaja dan veteran untuk menghidupkan tradisi lampu punjut yang semakin dilupakan.

“Ketika orang lain gemar menggunakan lampu LED atau solar, kami terus mempertahankan budaya ini,” katanya kepada pemberita semasa perasmian Gerbang Pelita MADANI Parlimen Sri Gading malam tadi.

Mohd Azam berkata pada tahun ini mereka menggunakan kira-kira 2,600 pelita pada struktur kerangka besi yang lebih kukuh dengan anggaran kos kira-kira RM5,000, berbanding kayu terpakai sebelum ini yang rosak akibat banjir.

  Mohd Azam berkata sumbu punjut masjid pelita setinggi kira-kira 11 meter itu menggunakan minyak diesel dengan anggaran penggunaan 90 liter setiap hari.

“Kami memasang pelita dari 9 malam hingga 12 tengah malam dan berbangga kerana gerbang pelita ini telah menjadi simbol kepada Batu Pahat dan Sri Gading, khususnya menjelang Syawal. Permintaan orang ramai membakar semangat untuk kami meneruskannya setiap tahun,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sri Gading Aminolhuda Hassan berkata pihaknya menyediakan peruntukan untuk membina semula gerbang pelita itu bagi memastikan tradisi tersebut terus dipertahankan dan diperkenalkan kepada generasi muda.

“Saya difahamkan ia digerakkan kira-kira 40 penduduk. Gerbang pelita ini menjadi simbol perpaduan bukan sahaja ketika proses pembinaan tetapi juga kepada pengunjung pelbagai kaum serta lapisan umur untuk melihat keunikannya sambil bergambar dan berswafoto,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan