AM

WEI SUSU KERBAU UNISZA BUKA PELUANG BAHARU INDUSTRI TENUSU TEMPATAN

17/03/2026 08:45 AM

JERTIH, 17 Mac (Bernama) -- Penghasilan minuman probiotik wei (whey) susu kerbau oleh Fakulti Perubatan Veterinar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dilihat berpotensi membuka peluang baharu dalam pembangunan industri tenusu tempatan.

Timbalan Dekan (Akademik dan Siswazah) Fakulti Perubatan Veterinar UniSZA Dr Noor Syaheera Ibrahim berkata wei yang sebelum ini dianggap bahan buangan industri keju kini menjadi bahan premium bagi suplemen sukan dan kecergasan serta minuman fungsian probiotik.

“ Wei susu merupakan cecair lebihan yang terhasil daripada proses pembuatan keju atau yogurt dan merupakan satu daripada protein utama di dalam susu. Susu secara asasnya terbahagi kepada dua komponen utama iaitu kasein yang merangkumi kira-kira 80 peratus kandungan protein dan wei sebanyak 20 peratus.

“Apabila susu diproses untuk menghasilkan keju atau yogurt, bahagian pepejal yang dikenali sebagai curd atau dadih akan dipisahkan dan dibentuk menjadi produk seperti keju, manakala lebihan cecair berwarna kekuningan itulah yang dipanggil wei,” katanya kepada Bernama di UniSZA Kampus Besut di sini baru-baru ini.

Noor Syaheera berkata penyelidikan terhadap wei susu telah bermula pada 2020 dengan memfokuskan kajian terhadap kandungan nutrisi susu kambing dan susu lembu.

“Dari situ kami mula mengeksplorasi kajian lain berkaitan susu pelbagai jenis haiwan. Kami melakukan kajian produk susu seperti susu telang, probiotik wei daripada susu kambing dan susu lembu hingga yang terbaharu iaitu probiotik wei susu kerbau.

“Kebanyakan kajian penyelidikan terhadap probiotik wei susu kerbau telah dipatenkan serta artikel mengenainya telah diterbitkan. Ketika ini produk tersebut telah melepasi kajian di peringkat makmal, namun terdapat beberapa kajian makmal masih perlu dijalankan bagi memastikan ia mempunyai kelebihan dari segi kesihatan sebelum dipasarkan secara meluas,” katanya.

Beliau berkata proses penghasilan wei susu kerbau kini dijalankan secara kecil-kecilan di makmal UniSZA Kampus Besut oleh tenaga pengajar, pensyarah serta pelajar Fakulti Perubatan Veterinar melibatkan beberapa peringkat termasuk pasteurisasi susu, pemisahan curd dan wei serta proses fermentasi menggunakan bakteria selama kira-kira 24 jam.

Beliau berkata seperti susu kambing dan lembu, probiotik wei susu kerbau juga diperkaya dengan bakteria probiotik (bakteria baik) untuk kegunaan produk minuman. 

“Probiotik ialah bakteria baik seperti Lactobacillus acidophilus yang boleh hidup dalam usus dan membantu mengimbangkan flora usus.

“Dalam konteks wei susu kerbau, probiotik ditambah atau dibenarkan membiak semasa fermentasi, sekali gus menghasilkan minuman probiotik wei yang memberi manfaat kepada pencernaan dan imun,” katanya.

Noor Syaheera berkata susu kerbau yang digunakan untuk menghasilkan minuman probiotik itu diperoleh dari sebuah ladang kerbau tenusu di Beranang, Selangor yang merupakan satu-satunya ladang kerbau tenusu di Malaysia.

Beliau berkata setakat ini produk berkenaan masih di peringkat ujian pasaran dan dijual secara terhad semasa program atau acara tertentu di dalam kampus.

“Maklum balas daripada pelajar mendapati rasa produk berkenaan hampir menyerupai minuman probiotik popular yang terdapat di pasaran dan lebih sedap diminum dalam keadaan sejuk.

“Produk ini mempunyai jangka hayat sekitar sebulan sahaja, selain bekalan susu kerbau juga agak terhad menyebabkan pengeluarannya masih dalam kuantiti yang kecil,” katanya.

Noor Syaheera berkata susu kerbau dipilih kerana mempunyai kandungan nutrisi yang lebih tinggi berbanding susu lain termasuk mengandungi protein, lemak serta mineral seperti kalsium, magnesium dan fosforus.

“Produk yang kami hasilkan bukan sekadar wei biasa tetapi probiotik wei iaitu yang diperkaya dengan bakteria probiotik jenis Lactobacillus acidophilus bagi menghasilkan minuman probiotik yang baik untuk sistem pencernaan,” katanya.

Noor Syaheera berkata minuman tersebut juga mengandungi protein yang tinggi sekali gus sesuai untuk individu yang aktif bersukan atau menjalani latihan kecergasan kerana membantu membina serta mengekalkan jisim otot.

Beliau berkata wei susu kerbau menawarkan nutrisi yang lebih padat berbanding wei susu lembu, sekali gus memberikan impak positif terhadap kesihatan serta prestasi fizikal.  

“Wei susu kerbau merupakan sumber yang baik untuk menyokong sistem imun iaitu mengandungi enam kali ganda lebih kesan pelindung imun selain mengandungi protein sebanyak 30 hingga 40 peratus lebih tinggi berbanding susu lembu dalam menyediakan sumber asid amino yang kukuh untuk pembinaan otot.

“Pengambilan wei susu kerbau selepas latihan fizikal membantu mempercepatkan proses pemulihan tenaga dan otot. Kandungan vitamin B yang terdapat dalam produk wei susu kerbau membantu metabolisme tenaga dan mengurangkan rasa lesu selepas bersukan,” katanya.

Noor Syaheera berkata secara umumnya minuman itu sesuai diambil oleh semua peringkat umur, namun individu yang mempunyai intoleransi laktosa atau masalah buah pinggang perlu mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu.

Beliau berkata produk berkenaan berpotensi dikomersialkan sebagai alternatif kepada produk wei import yang kebanyakannya dijual dalam bentuk serbuk pada harga lebih mahal.

“Pembangunan industri wei tempatan dapat mengurangkan kos produk yang kini dimonopoli oleh bahan import yang mahal, sekali gus memberi dorongan kepada pengusaha tempatan untuk memanfaatkan populasi kerbau tempatan bagi tujuan komersial iaitu menghasilkan kepelbagaian produk seperti minuman probiotik, serbuk wei dan minuman coklat,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Noor Syaheera berkata pihaknya turut bercadang menganjurkan kursus pembuatan wei bagi memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai potensi produk tenusu berasaskan susu tempatan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan