AM

WARGA EMAS KAMPUNG DATU BARU TERUS MERONDA DEMI KESELAMATAN

17/03/2026 01:14 PM

Oleh Ibrahim Mahsen

SIBU, 17 Mac (Bernama) -- Di kala rakan sebaya lebih selesa berehat di rumah, sekumpulan warga emas di Kampung Datu Baru di sini, tetap setia menggalas tanggungjawab meronda setiap lorong penempatan mereka bagi memastikan kawasan itu kekal aman dan selamat.

Meskipun berusia lewat 60-an hingga pertengahan 70-an, semangat kumpulan pesara itu tidak pernah luntur apabila terus gigih menjalankan rondaan di bawah Pasukan Skim Rondaan Sukarela (SRS) sejak lebih sedekad lepas.

Kesedaran menjaga keselamatan di penempatan yang didiami penduduk asal Kampung Datu Lama sejak awal 1990-an itu bermula sekitar 2000-an hasil permuafakatan penduduk untuk membantu pihak polis dalam usaha pencegahan jenayah setempat.

Setiausaha Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Datu Baru, Abang Kamalludin Abang Hamdan berkata daripada perbincangan tersebut juga satu Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) ditubuhkan dengan rondaan dijadikan antara aktiviti utama.

“Pada masa itu ramai penduduk terlibat. Mereka dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan rondaan biasanya bermula sekitar tengah malam hingga 2 pagi beberapa kali seminggu. Penduduk berjalan kaki sambil membawa lampu suluh untuk memeriksa setiap sudut kampung,” katanya kepada Bernama.

Menurut beliau, sambutan daripada penduduk ketika itu amat menggalakkan kerana mereka teruja dapat bersama-sama menjaga keselamatan kampung selain mengeratkan hubungan silaturahim sesama jiran.

Abang Kamalludin, yang juga pesara bomba, berkata sepanjang penglibatannya, dia pernah berdepan detik cemas termasuk terserempak dengan penceroboh di rumahnya sendiri ketika baru pulang dari syif malam.

"Usaha berterusan itu juga membuahkan hasil apabila kes pecah rumah dan kecurian semakin berkurangan, selain aktiviti melepak hingga lewat malam juga semakin terkawal," kataya. 

Bagaimanapun, dia mengakui keadaan kini sedikit berbeza apabila jumlah anggota aktif semakin berkurangan dengan hanya tinggal kira-kira 12 orang yang masih bertahan dan sebahagian besarnya merupakan warga emas.

“Kekerapan rondaan kini dikurangkan kepada dua kali seminggu bermula 10 malam hingga tengah malam menggunakan motosikal bagi memantau kesemua 12 lorong di Kampung Datu Baru agar tiada aktiviti mencurigakan berlaku," katanya.

Sehubungan itu, Abang Kamalludin berharap lebih ramai generasi muda tampil menyertai tugasan sukarela itu demi kelangsungan keselamatan kampung.

Katanya, apabila anggota sedia ada tidak lagi mampu meronda atas faktor usia dan kesihatan, generasi muda perlu mengambil alih tanggungjawab itu bagi memastikan Pasukan SRS Kampung Datu Baru terus aktif.

“Kami tidak boleh memaksa sesiapa untuk menyertai rondaan. Tetapi kami berharap generasi muda akan tampil membantu kerana suatu hari nanti merekalah yang akan mewarisi kampung ini,” katanya.

Komitmen jitu kumpulan warga emas itu turut mendapat pengiktirafan apabila Pasukan SRS Kampung Datu Baru menerima Anugerah Pengurusan SRS Cemerlang pada 2015 serta SRS Terbaik Peringkat Bahagian Sibu pada 2025 daripada Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional.

Bagi anggota pasukan itu, segala pengiktirafan yang diterima menjadi pembakar semangat untuk mereka terus berbakti selagi kudrat dan kesihatan masih mengizinkan.

Melalui usaha yang tidak mengenal usia ini, mereka membuktikan bahawa tanggungjawab menjaga keamanan bukan sekadar tugas pihak berkuasa, tetapi amanah yang perlu dipikul bersama oleh seluruh komuniti.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan